Sabtu, 6 Ogos 2022 | 9:40am
Nang Mwe San (kiri) dan Thinzar Wint Kyaw. - Foto: Twitter/Nang Mwe San, Instagram/Thinzar Wint Kyaw
Nang Mwe San (kiri) dan Thinzar Wint Kyaw. - Foto: Twitter/Nang Mwe San, Instagram/Thinzar Wint Kyaw

Dua model Myanmar ditahan muat naik video mudarat budaya

YANGON: Dua model terkenal Myanmar ditahan dan berdepan tuduhan 'memudaratkan budaya dan maruah' kerana menyiarkan klip ke dalam talian, termasuk ke platform video intim, OnlyFans, kata junta semalam.

Dalam satu kenyataan, junta berkata, Nang Mwe San didakwa 'mengedarkan gambar dan video lucah berbayar yang boleh... memudaratkan budaya dan maruah Myanmar'.

Katanya, Thinzar Wint Kyaw, seorang lagi model dan pelakon terkenal dengan lebih 1.5 juta pengikut Instagram, didakwa menyiarkan video di laman pencipta kandungan, Exantria.

Menurut kenyataan itu, model berkenaan berbuat demikian 'tanpa kesopanan yang sepatutnya dijaga wanita Myanmar.

Mereka akan berdepan pertuduhan di bawah undang-undang transaksi elektronik, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun.

AFP tidak dapat mengesahkan kandungan video yang didakwa jelas itu.

Sejak merampas kuasa tahun lalu, junta berulang kali mendakwa budaya tradisional di negara penganut beragama Buddha itu diserang semasa pemerintahan demokrasi, Aung San Suu Kyi.

Kenyataan itu menambah, mereka yang memuat naik ke laman web sama dan 'memudaratkan keaiban dan kesopanan wanita Myanmar akan diketahui dan tindakan berkesan akan diambil terhadap mereka'.

Mwe San, seorang doktor terlatih, dibatalkan lesen perubatannya oleh Majlis Perubatan Myanmar pada 2019 selepas mendakwa pakaiannya dalam siaran media sosial bertentangan dengan 'budaya dan tradisi Myanmar'.

Wint Kyaw ditahan seketika oleh tentera bulan lalu selepas mengembara ke kawasan yang dikuasai pemberontak etnik.

Kedua-duanya tidak aktif di Instagram sejak beberapa minggu lalu. - AFP

Berita Harian X