Selasa, 26 Julai 2022 | 8:12pm
Gambar hiasan menunjukkan kakitangan perubatan memegang botol vaksin cacar monyet. - Foto REUTERS
Gambar hiasan menunjukkan kakitangan perubatan memegang botol vaksin cacar monyet. - Foto REUTERS

Thailand tingkatkan amaran jangkitan cacar monyet

BANGKOK: Kerajaan Thailand mengeluarkan amaran cacar monyet peringkat kebangsaan selepas mesyuarat tergempar agensi kesihatan dan menteri kesihatan awam, hari ini.

Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul, memanggil mesyuarat itu selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global Sabtu lalu.

Anutin berkata pemantauan dan kawalan cacar monyet di Thailand akan diambil alih oleh pusat operasi kecemasan Kementerian Kesihatan Awam.

Katanya, mesyuarat itu juga membincangkan garis masa kes cacar monyet yang pertama disahkan di Thailand.

Selasa minggu lalu, ujian makmal mengesahkan bahawa seorang lelaki Nigeria yang dimasukkan ke hospital di Phuket dijangkiti cacar monyet.

Dia kemudian melarikan diri melalui wilayah Sa Kaew ke Kemboja dan ditahan di sana pada Sabtu berikutnya.

Anutin berkata pengarah kesihatan pada mesyuarat itu percaya warga Nigeria terbabit tidak menyebarkan virus itu kepada orang lain sejak sebulan lalu, bermakna Thailand masih selamat.

Beliau berkata pegawai kawalan penyakit di seluruh negara bekerja dengan pusat pemeriksaan sempadan untuk menyaring pelancong bagi mengesan jangkitan cacar monyet, dengan pemantauan lebih rapi terhadap pengembara dari negara berisiko.

"Pada mesyuarat yang sama, Jabatan Perkhidmatan Perubatan memberi jaminan mempunyai stok vaksin cacar yang mencukupi untuk melindungi penduduk Thailand.

"Mereka juga memberi jaminan negara mempunyai ubat dan kemudahan yang mencukupi untuk merawat pesakit sekiranya berlaku wabak monyet," katanya.

Tambah Anutin, langkah pencegahan COVID-19 sejagat juga berkesan terhadap cacar monyet, yang juga penyakit lebih perlahan merebak.

"Orang ramai tidak perlu panik kerana virus cacar monyet ini tidak merebak dengan pantas seperti COVID-19.

"Langkah untuk mengurangkan risiko COVID-19 juga boleh digunakan (untuk cacar monyet), termasuk pemakaian pelitup muka, mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan sosial, serta mengelakkan kawasan sesak," katanya

Anutin berkata, cacar monyet merebak melalui kegiatan seksual, justeru orang ramai perlu melindungi diri mereka dengan cara yang sama seperti jangkitan HIV.

Mesyuarat itu juga melantik pakar Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Dr Naruemol Sawanpanyalert, bagi menerangkan pelbagai langkah pencegahan kepada orang ramai.

Anutin berkata, pakar perubatan mengadakan pertemuan dan perbincangan mengenai langkah menentang cacar monyet.

Sementara itu, pegawai kesihatan Phuket berkata mereka berjaya mengesan 19 orang lagi yang ada hubungan rapat dengan lelaki yang dijangkiti itu.

Pejabat Kesihatan Awam Phuket berkata,dua daripada 19 diuji negatif untuk virus cacar monyet manakala keputusan ujian untuk yang lain akan diketahui dalam beberapa hari. - AGENSI

Berita Harian X