Khamis, 23 Jun 2022 | 12:14pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19 melonjak di Singapura, pakar gesa ambil dos penggalak

SINGAPURA: Lonjakan terbaru kes COVID-19 dikesan di republik ini didorong subvarian baru BA.4 dan BA.5 Omicron, yang lebih mudah berjangkit, kata pakar.

Kes baru juga tidak terdiri daripada mereka yang dijangkiti buat kali pertama saja, sebaliknya jangkitan kali kedua juga berlaku akibat perlindungan vaksin semakin merosot.

Oleh itu, doktor dan pakar terus menggesa orang ramai mendapatkan suntikan penggalak, termasuk dos penggalak kedua, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Aidiladha tidak lama lagi.

Sebanyak 7,109 kes COVID-19 baru direkod di Singapura kelmarin, lebih dua kali ganda jumlah kes pada Isnin, iaitu 3,220 kes selain lebih tinggi berbanding 5,130 kes pada Selasa minggu lalu.

Bilangan kes pada Selasa biasanya lebih tinggi berbanding hari lain kerana ia mencerminkan peningkatan dalam jangkitan selepas hujung minggu apabila lebih orang berada di pelbagai tempat bersosial.

Kementerian Kesihatan (MOH) melaporkan dalam pengemaskinian di laman sesawangnya bahawa nisbah jangkitan dari minggu ke minggu meningkat ke 1.23 semalam, daripada 1.17 pada Isnin manakala Selasa minggu lalu, nisbahnya ialah 1.01.

Kadar itu merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat sepanjang minggu lalu berbanding dengan minggu sebelumnya, yang mana kadar melebihi 1 menunjuk jumlah kes coronavirus baru mingguan sedang meningkat.

MOH berkata 326 pesakit sedang dirawat di hospital, dengan sembilan menerima penjagaan intensif dan 27 memerlukan sokongan oksigen tetapi tidak ada kematian baru dilaporkan.

Setakat ini, Singapura mencatat 1,378,090 kes COVID-19 dengan 1,405 kematian.

Kelmarin, MOH juga berkata negara ini menyaksikan peningkatan 23 peratus dalam kes jangkitan dalam masyarakat dari minggu ke minggu dan sebahagian besar peningkatan itu disebabkan penyebaran subvarian Omicron BA.4 dan BA.5.

Sekitar 30 peratus kes COVID-19 dalam masyarakat minggu lalu adalah kes subvarian BA.4 dan BA.5, berbanding masing-masing 17 peratus dan 3 peratus pada dua minggu sebelumnya.

Subvarian BA.5 saja dianggarkan menyumbang 25 peratus daripada semua kes sejauh ini dalam minggu ini, kata MOH. Lonjakan dalam kes BA.4 dan BA.5 berkemungkinan berterusan, didorong sifatnya yang lebih mudah disebarkan berbanding BA.2.

Buat masa ini, bukti antarabangsa dan tempatan menunjukkan keterukan jangkitan BA.4 dan BA.5 adalah sama dengan jenis jangkitan Omicron terdahulu.

Pada awal bulan ini, Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, memberi amaran bahawa gelombang COVID-19 seterusnya mungkin melanda ke Singapura pada Julai atau Ogos, disebabkan oleh subvarian BA.4 dan BA.5 virus Omicron.

Ini berdasarkan apa yang berlaku di bahagian lain dunia, seperti di Amerika Syarikat atau Afrika Selatan. - AGENSI

Berita Harian X