Jumaat, 10 Jun 2022 | 7:12pm
Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul menghadiri kempen pemberian sejuta tumbuhan ganja percuma di Wilayah Buriram, Thailand. - Foto REUTERS
Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul menghadiri kempen pemberian sejuta tumbuhan ganja percuma di Wilayah Buriram, Thailand. - Foto REUTERS

Thailand beri percuma sejuta pokok ganja

BANGKOK: Thailand melancarkan kempen memberikan sejuta tumbuhan ganja percuma hari ini sehari selepas menyahklasifikasikannya daripada sebagai narkotik untuk tujuan komersial.

Walaupun membenarkan orang ramai menanam pokok ganja di kediaman masing-masing selepas mendaftar dengan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA), negara itu tidak menggalakkan orang ramai daripada menjadi khayal dan memberi amaran bahawa mereka masih boleh melanggar undang-undang.

Thailand menghalalkan ganja untuk kegunaan perubatan pada 2018 tetapi kini berhasrat untuk membangunkannya sebagai tanaman tunai dan membina industri tempatan yang menguntungkan.

"Jangan gunakannya dan duduk sambil tersenyum di rumah dan tidak selesaikan apa-apa kerja. Perkara itu bukan dasar kami," kata Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul pada pelancaran di timur laut wilayah Buriram, di mana 1,000 pokok pertama diedarkan.

"Kami telah memadamkan stigma, ia dihanyutkan seperti membuang tatu. Jangan biarkan ia kembali," katanya sambil menambah ganja harus digunakan untuk meningkatkan kesihatan.

Hari ini ganja telah dinyahsenarai daripada senarai narkotik negara, membolehkan orang ramai menanam tumbuhan itu jika mereka mendaftar pada aplikasi kerajaan.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menggalakkan penggunaan rekreasinya, manakala menghisapnya di tempat awam boleh membawa kepada penjara dan denda.

Kandungan psikoaktif dalam ganja, tetrahydrocannabinol atau THC, dihadkan kepada 0.2 peratus dalam ekstrak ganja dan produk yang boleh dijual di Thailand, termasuk minyak dan gula-gula.

Menanam ganja di rumah memerlukan pendaftaran dengan aplikasi telefon pintar kerajaan, PlookGanja atau 'tanam ganja'.

Anutin berkata, lebih 300,000 orang telah mendaftar dengan aplikasi itu, yang mempunyai jutaan muat turun daripada orang yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai ganja.

Menurut jabatan pemulihan Thailand, 3,000 orang telah dibebaskan dari penjara selepas ditahan atas jenayah berkaitan ganja sejak undang-undang diubah minggu ini. - REUTERS

Berita Harian X