Isnin, 6 Jun 2022 | 3:47pm
Thailand tidak lama lagi akan membenarkan orang ramai menanam ganja tanpa had di rumah kerana ia dijadualkan dikeluarkan daripada senarai narkotik terlarangnya. - Foto REUTERS
Thailand tidak lama lagi akan membenarkan orang ramai menanam ganja tanpa had di rumah kerana ia dijadualkan dikeluarkan daripada senarai narkotik terlarangnya. - Foto REUTERS

Thailand akan benarkan tanaman ganja tanpa had

BANGKOK: Thailand akan membenarkan orang ramai menanam pokok ganja tanpa had di rumah dalam masa terdekat susulan tumbuhan itu bakal dikeluarkan daripada senarai narkotik terlarang Khamis ini.

Bagaimanapun, penanaman ganja dibenarkan hanya untuk tujuan kesihatan dan perubatan, bukan bagi tujuan rekreasi.

Menurut laporan Bangkok Post, orang ramai yang berhasrat untuk menanam tumbuhan itu perlu mendaftar dengan organisasi pentadbiran wilayah atau melalui aplikasi mudah alih yang dibangun dan dikendalikan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) negara itu.

Pihak berkuasa juga memberi amaran bahawa ekstrak ganja yang mengandungi lebih daripada 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC) masih diharamkan di bawah undang-undang dadah negara.

THC ialah sebatian psikoaktif utama dalam ganja dan ekstraknya lebih tinggi daripada 0.2 peratus.

Ia masih akan diiktiraf dalam senarai narkotik kategori lima.

Orang ramai yang berhasrat untuk menanam marijuana bagi tujuan komersial perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

Memandangkan hanya minyak yang diekstrak daripada ganja dengan kandungan THC lebih daripada 0.2 peratus akan dikategorikan sebagai narkotik, bahagian lain boleh ditanam secara sah dan didagangkan untuk tujuan perubatan, promosi kesihatan dan perniagaan lain.

Ketua Eksekutif JSP Pharmaceutical Manufacturing (Thailand), Sittichai Daengpra iaitu pengedar ubat dan suplemen pemakanan, berkata penyahsenaraian itu adalah titik mula kepada pembangunan ganja dalam pelbagai industri.

Ia menandakan bermulanya era baharu dalam sektor tanaman di Thailand dan turut menyeru usahawan supaya memulakan perniagaan baharu mengambil kira rakyat kini mempunyai pilihan rawatan kesihatan alternatif.

Laporan Bangkok Post berkata, JSP dan wakil petani bagi tanaman ganja serta pengusaha kilang baru-baru ini bertemu Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul untuk membincangkan cadangan mengurangkan prosedur undang-undang yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan berkaitan ganja.

Sittichai berkata, kelonggaran peraturan ini seharusnya membantu perusahaan komuniti yang menanam ganja dan dapat membekalkannya kepada kilang.

Beliau berkata, JSP sedang berbincang dengan persatuan ganja dan hemp mengenai cadangan untuk menetapkan harga median bagi tumbuhan dan bahan yang diekstraknya untuk mengelakkan perang harga, yang akan memberi kesan kepada petani secara langsung.

"Ini akan memastikan harga berpatutan dalam pasaran dan menghalang syarikat kaya dan besar daripada membeli tanaman ini dalam jumlah yang besar," katanya. - AGENSI

Berita Harian X