Khamis, 26 Mei 2022 | 4:54pm
Gambar fail salah satu protes bagi membantah hukuman mati dijatuhkan terhadap warga Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam, oleh Mahkamah Singapura. - Foto EPA
Gambar fail salah satu protes bagi membantah hukuman mati dijatuhkan terhadap warga Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam, oleh Mahkamah Singapura. - Foto EPA

Mahkamah Singapura arah peguam Nagaenthran bayar SGD20,000

SINGAPURA: Peguam yang mewakili pengedar dadah Malaysia, Nagaenthran K Dhamalingam, diperintahkan membayar SGD$20,000 (RM63,994) kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Dua peguam terbabit dikatakan menyebabkan penambahan kos yang tidak perlu ketika percubaan terakhir untuk menghentikan hukuman gantung yang dijatuhkan terhadap anak guam mereka.

M Ravi, yang menjalankan kebanyakan tugas membela diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan untuk menanggung 75 peratus kos berkenaan manakala Violet Netto yang kemudian mengambil alih tugas sebagai peguam pula perlu membayar baki 25 peratus.

Pihak AGC pada awalnya menuntut kos peribadi sejumlah SGD$40,000 (RM127,888) daripada Ravi dan Netto kerana berusaha menangguh hukuman gantung Nagaenthran dengan mengeluarkan permohonan, menyebabkannya penambahan kos yang tidak sepatutnya.

Di bawah undang-undang, mahkamah mempunyai kuasa mengarahkan supaya kos peribadi dibayar peguam bertanggungjawab menyebabkan tambahan kos yang tidak wajar hasil sikap tidak wajar atau cuai.

Rabu lalu, Mahkamah Rayuan dengan lima hakim diketuai Hakim Besar Sundaresh Menon, berkata agak jelas kepada mana-mana peguam pembela yang munasabah bahawa kes dikemukakan dua peguam itu kurang berlandaskan fakta.

Pihak mahkamah mengulangi bahawa cara kes itu dikendalikan adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah yang terang-terangan dan sangat mengejutkan.

Berbanding mengemukakan kes mereka sebaik mungkin seperti yang ditetapkan, peguam terbabit dikatakan mengeluarkan bukti satu persatu dan mengetengahkan dokumen pada saat-saat akhir, kata mahkamah.

Mahkamah juga menolak bidasan Ravi bahawa beliau dan Netto tidak boleh diarahkan membayar kos peribadi kerana mereka bukan lagi peguam yang masih meneruskan bidang guaman.

Nagaenthran didapati bersalah mengedar 42.72 gram heroin pada 2010 dan dihukum gantung selepas rayuannya ditolak pada 2011.

Sepanjang tempoh itu, dia memohon sebanyak tujuh kali untuk hukuman gantung itu dihentikan.

Beberapa hari sebelum dia dijadualkan menjalani hukum gantung pada 10 November tahun lalu, Ravi memohon semakan kehakiman mengenai hukuman berkenaan.

Ravi juga memohon jika hukuman itu dapat dihentikan dulu bagi panel ahli psikiatri menilai keadaan Nagaenthran.

Beliau menyatakan hukuman berkenaan tidak dapat diteruskan kerana Nagaenthran kurang upaya dari segi mental.

Kes itu dikemukakan Netto, yang dibantu Ravi, di hadapan mahkamah tertinggi pada 1 Mac lalu.

Pada 29 Mac, mahkamah menolak tindakan guaman itu dengan menyatakan kes itu tidak berasas dan tiada bukti yang boleh dipakai mengenai keadaan mental Nagaenthran.

Mahkamah berkata perbicaraan Nagaenthran itu membawa pada penyalahgunaan proses mahkamah dan dikendalikan dengan matlamat yang nampaknya ingin menangguh hukuman gantung itu.

Pada 26 April, permohonan saat akhir ibu Nagaenthran untuk menghentikan hukuman gantung yang dijadualkan semula ditolak mahkamah dan tertuduh digantung di Kompleks Penjara Changi pada 27 April lalu. - AGENSI

Berita Harian X