Khamis, 26 Mei 2022 | 4:01pm
Prime Kopi Pejuang 3 in 1. - Foto AGENSI
Prime Kopi Pejuang 3 in 1. - Foto AGENSI

Singapura beri amaran jangan beli, minum 'Prime Kopi Pejuang 3 in 1'

SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya tidak membeli atau minum kopi tiga dalam satu 'Prime Kopi Pejuang 3 in 1' yang mendakwa boleh mempertingkatkan kesihatan seksual lelaki.

Ini selepas dua orang yang minum kopi itu jatuh sakit teruk, termasuk seorang yang mengalami priapisme atau ereksi alat kelamin selama empat jam selepas minum kopi itu, kata HSA dalam kenyataannya pada 25 Mei.

Priapisme adalah keadaan perubatan yang serius dan boleh merosakkan tisu alat kelamin serta menyebabkan mati pucuk.

Menurut HSA, pemeriksaan yang dilakukan ke atas kopi itu menunjukkan ia mengandungi kandungan tinggi tadalafil iaitu ubat rawat mati pucuk yang perlu dimakan mengikut arahan doktor.

Ia juga tidak mengandungi bahan semula jadi atau herba sebagaimana yang didakwa dalam bahan pemasaran di dalam talian.

Menurut HSA, 'Prime Kopi Pejuang 3 in 1 dijual menerusi saluran e-dagang seperti Shopee, Lazada, Qoo11 dan Carousell, serta menerusi Facebook.

"HSA bekerjasama dengan pentadbir pentas berkenaan untuk menghapuskan barangan itu dari senarai penjualan dan sudah mengeluarkan amaran kepada penjual," kata HSA. - AGENSI

Berita Harian X