Sabtu, 14 Mei 2022 | 4:13pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Singapura mula suntikan vaksin COVID-19 Nuvaxovid

SINGAPURA: Bermula semalam, penduduk Singapura berusia 18 tahun ke atas yang boleh menerima vaksinasi COVID-19 termasuk suntikan penggalak boleh membuat janji temu untuk mendapatkan vaksin bukan mRNA, Nuvaxovid oleh Novavax.

Mereka boleh mendapatkan suntikan berkenaan di Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC) Bishan di bekas tapak Sekolah Menengah Bishan Park, atau mana-mana 20 Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) yang mengambil bahagian.

PHPC akan menawarkan vaksin Nuvaxovid bermula 18 Mei 2022, sementara JTVC Bishan akan menawarkannya bermula 24 Mei 2022, umum Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

"Seperti yang disyorkan oleh Jawatankuasa Pakar Vaksinasi COVID-19, individu berumur 18 tahun ke atas boleh menerima vaksin Nuvaxovid untuk siri utama atau vaksin penggalak mereka.

"Vaksin mRNA kekal sebagai vaksin pilihan kerana keberkesanannya yang lebih tinggi dan tindak balas imun lebih kuat yang dihasilkan.

"Namun, mereka yang tidak layak secara perubatan untuk menerima vaksin mRNA harus mempertimbangkan Nuvaxovid," kata MOH.

Nuvaxovid menggunakan teknologi berasaskan protein yang sudah wujud selama beberapa dekad untuk mencipta vaksin terhadap penyakit seperti penyakit kayap, batuk kokol dan hepatitis.

Protein dalam vaksin Novavax meniru protein pepaku (spike protein) COVID-19. Ia dicipta dalam sel rama-rama, kemudian ditukar menjadi nanopartikel yang dituai untuk membuat vaksin.

Protein pepaku tidak berjangkit itu kemudiannya dimasukkan ke dalam badan untuk mendorong tindak balas imun.

Perbezaan utama antara vaksin Novavax dan mRNA ialah ia dibuat dengan salinan buatan makmal bagi protein pepaku COVID-19, manakala vaksin mRNA termasuk arahan genetik untuk badan membuat protein pepaku sendiri.

Ujian menunjukkan bahawa Nuvaxovid adalah kira-kira 90 peratus berkesan dalam mencegah gejala COVID-19 dan 100 peratus berkesan dalam mencegah jangkitan teruk. - AGENSI

Berita Harian X