Isnin, 11 April 2022 | 10:54am
Polis Indonesia menyekat laluan di Timika untuk menyekat kemaraan peserta demonstrasi menentang pelan kerajaan membangunkan kawalan pentadbiran baharu di wilayah Papua. - AFP
Polis Indonesia menyekat laluan di Timika untuk menyekat kemaraan peserta demonstrasi menentang pelan kerajaan membangunkan kawalan pentadbiran baharu di wilayah Papua. - AFP

Konflik pemisah bersenjata Papua, pihak berkuasa memuncak

JAKARTA: Konflik berterusan antara pasukan keselamatan bersama Indonesia dan kumpulan pemisah bersenjata semakin memuncak di wilayah paling utara, Papua, sehingga menyebabkan kematian.

Sekurang-kurangnya 16 rumah di perkampungan Kimak di wilayah Puncak dilapor dibakar pemberontak pemisah Papua.

Pemberontak kemudian melakukan serangan hendap terhadap pihak keselamatan yang cuba memadamkan kebakaran, sekali gus mencetuskan pertempuran selama dua jam.

Pihak polis percaya kumpulan pemisah bertindak membakar semua rumah berkenaan untuk membalas dendam atas kematian ahli kumpulannya, Ali Kogoya, 35, yang ditembak mati pasukan keselamatan bersama.

Ketua Polis Papua, Mathius Fakhiri berkata, kumpulan pemberontak sering melakukan serangan balas apabila pengikutnya ditahan atau ditembak mati oleh pegawai.

"Kami sudah mengingatkan anggota kami untuk sentiasa berjaga-jaga. Saya minta mereka supaya tidak terlalu mudah diprovokasi kerana akan berlaku tindakan balas," katanya.

Berdasarkan maklumat daripada Pejabat Kakitangan Presiden, dalam tempoh tiga bulan pertama 2022, terdapat sekurang-kurangnya tujuh serangan jenayah kejam dilakukan kumpulan terbabit yang meragut 13 nyawa, termasuk anggota tentera dan orang awam serta mencederakan lima orang.

Pasukan keselamatan turut memburu penjenayah bersenjata selepas seorang anggota tentera dan isterinya yang bekerja sebagai bidan, dibunuh dalam serangan di sebuah rumah di wilayah Yalimo, akhir bulan lalu.

Penyerang menembak mati tentera dan mengelar leher isteri mangsa serta turut mencederakan dua anak mereka, sebelum melarikan diri ke kawasan hutan sejurus melakukan serangan itu.

Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TPNPB), sayap ketenteraan Organisasi Papua Merdeka (OPM) mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan itu dan menyatakan ia sebahagian daripada kegigihan mereka untuk mendapatkan kemerdekaan daripada Indonesia.

Kumpulan itu turut mendakwa Indonesia melakukan kempen pembunuhan beramai-ramai terhadap komuniti Orang Asli di Papua.

Papua adalah bekas tanah jajahan Belanda yang terletak di daerah barat Pulau New Guinea.

Walaupun kaya dengan khazanah alam, ia antara wilayah termiskin di Indonesia dan menjadi pusat kepada pemberontakan puak pemisah sejak sedekad lalu.

Presiden Indonesia, Joko Widodo melawat Papua dan wilayah berdekatan Barat Papua beberapa kali ketika pemerintahannya dan mengadakan dialog dalam usaha membina kepercayaan dengan masyarakat Orang Asli Papua.

Bagi mengurangkan jurang ekonomi antara kedua-dua wilayah, kerajaan di bawah pemerintahan Widodo secara konsisten membangunkan beberapa infrastruktur termasuk jalan raya dan kemudahan penjagaan kesihatan, walaupun antara antaranya dimusnahkan pemisah Papua. – BERNAMA

Berita Harian X