Jumaat, 1 April 2022 | 4:59pm
Seorang pekerja melaraskan bendera ASEAN di dewan mesyuarat di Kuala Lumpur pada 28 Oktober 2021. - Foto REUTERS
Seorang pekerja melaraskan bendera ASEAN di dewan mesyuarat di Kuala Lumpur pada 28 Oktober 2021. - Foto REUTERS

Sudah tiba masa singkirkan junta Myanmar dari ASEAN

JAKARTA: Keanggotaan Myanmar perlu digantung sehingga pihak tentera mengembalikan semula kuasa yang dirampas daripada kerajaan dipilih secara demokrasi Februari tahun lalu.

Ini kerana tindakan pemimpin junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, dilihat menentang dalam mematuhi konsensus lima perkara untuk menyelesaikan krisis negara.

Ia sekali gus menunjukkan bukti bahawa Aung Hlaing tidak hormat kepada ASEAN.

Justeru sudah tiba masanya pemimpin wilayah persatuan itu memastikan Aung Hlaing bertanggungjawab di atas perbuatan melulunya.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, dilaporkan sudah melepaskan mandat yang diberikan ASEAN kepadanya untuk memastikan jeneral Myanmar itu mematuhi konsensus yang dipersetujuinya pada sidang kemuncak tergempar ASEAN di Jakarta pada April tahun lalu.

Hun Sen pada mulanya optimis bahawa beliau berupaya 'bekerjasama' dengan junta, seperti mana ASEAN membantu menamatkan perang saudara di Kemboja pada 1980-an.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), melalui pesanannya kepada Hun Sen pada Januari, berkata Aung Hlaing tidak mempunyai pilihan, selain melaksanakan janjinya. 

Jokowi tidak mahu Hun Sen mengulangi kesilapan Brunei yang gagal memaklumkan negara ASEAN lain sebelum dan selepas menghantar wakil untuk berbincang dengan junta Myanmar.

Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Hun Sen pada mulanya yakin bahawa pembabitannya dengan junta akan lebih membuahkan hasil, malah selepas pemimpin itu, Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn, turut melawat Myanmar.

Kedua-dua misi itu, bagaimanapun, gagal.

Hun Sen kemudiannya menyifatkan keadaan akan lebih baik sekiranya Indonesia yang mempengerusikan ASEAN pada tahun depan mengambil alih tugas itu. 

Presiden Jokowi dijadual memegang jawatan pengerusi ASEAN pada November selepas Indonesia melengkapkan jawatan presiden Kumpulan 20 (G-20).  

"Saya berada dalam situasi di mana saya akan dikutuk sama ada jika saya berjaya melakukannya atau tidak," Radio Free Asia memetik Hun Sen sebagai berkata semasa bercakap di hadapan tetamu, termasuk duta Jepun ke Kemboja  Mikami Masahiro, bulan lalu. 

Bagi memberi tekanan kepada junta Myanmar, pemimpin ASEAN harus berani menggantung keahlian negara itu sehingga ia menunaikan janjinya dan tidak cukup sekadar menghalang junta daripada menghadiri mesyuarat rasmi ASEAN.

Pemimpin Indonesia, Malaysia, Singapura dan Filipina berjaya memboikot junta tahun lalu, iaitu situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, namun usaha lebih lanjut diperlukan dalam perkara berkaitan.

ASEAN juga berkemungkinan akan membenarkan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), di mana Aung San Suu Kyi yang mewakili kerajaan Myanmar yang dipilih secara demokratik untuk menghadiri mesyuarat ASEAN. 

Namun, umum mengetahui ketidakyakinan Suu Kyi terhadap Indonesia dan Malaysia, justeru adalah tidak mudah bagi kedua-dua negara untuk menjayakan NUG.

Suu Kyi enggan membuat lawatan pengenalan ke Jakarta dan Kuala Lumpur, sekali gus mengingkari norma yang sudah lama wujud bagi ASEAN yang dikaitkan dengan ketegangan ke atas Rohingya iaitu kumpulan minoriti Islam yang teraniaya di Myanmar yang majoritinya beragama Buddha. - AGENSI

Berita Harian X