Isnin, 14 March 2022 | 8:06pm
Kakitangan perubatan melakukan ujian COVID-19 sebelum pelajar menduduki peperiksaan di Pattani, Thailand. - Foto BERNAMA
Kakitangan perubatan melakukan ujian COVID-19 sebelum pelajar menduduki peperiksaan di Pattani, Thailand. - Foto BERNAMA

Thailand bimbang dilanda COVID-19 sub varian Omicron

BANGKOK: Pakar kesihatan di Thailand meluahkan kebimbangan mengenai kemunculan COVID-19 sub varian Omicron terbaru yang didakwa dikesan di Hong Kong.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Kesihatan Awam Thailand, Dr Chalermchai Boonyaleephan, memaklumkan Omicron ketika ini sudah memilik tiga sub varian dengan yang terbaru dikenali sebagai BA.2.2.

Hong Kong ketika ini berdepan dengan gelombang jangkitan COVID-19 terburuk apabila merekodkan kadar kematian tertinggi di dunia akibat coronavirus itu.

Sehubungan itu, Chalermchai meminta kerajaan Thailand supaya menyaring ketibaan pengembara dari Britain dan Hong Kong bagi mengesan sub varian BA.2.2.

Katanya, apabila kadar kes jangkitan tinggi, seperti yang dialami Hong Kong ketika ini, keadaan itu secara tidak langsung menjadikan virus lebih mudah bermutasi.

"Berdasarkan jumlah kematian dan jangkitan di Hong Kong ketika ini, tidak mustahil ia disebabkan oleh sub varian baharu Omicron.

"Data menunjukkan 5,000 jangkitan ketika ini dan 30 kematian bagi setiap sejuta penduduk di Hong Kong pada setiap minggu.

"Jumlah itu lebih tinggi berbanding di Thailand yang merekodkan secara purata 315 kes dan 0.85 kematian bagi setiap sejuta penduduk setiap minggu," katanya yang dipetik Nation Thailand.

bagaimanapun, Inisiatif Global untuk Perkongsian Data Selesema Burung (GISAID) belum mengesahkan kemunculan BA.2.2 sebagai sub varian Omicron atau mengaitkannya dengan kes kematian di Hong Kong.

Jabatan Sains Perubatan Thailand pula memaklumkan, pengesahan varian baharu mengambil masa dan memerlukan banyak data.

GISAID sebelum ini mengesahkan kemunculan varian Deltacron yang pertama kali dikesan di Cyprus.

Kelmarin, sub varian Omicron BA.2 disahkan dominan di Thailand, menyumbang kira-kira 52 peratus daripada jumlah jangkitan coronavirus.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum memutuskan bahawa BA.2 lebih serius berbanding BA.1 tetapi BA.2 adalah 1.4 kali lebih mudah berjangkit berbanding BA.1 dan merebak lebih 10 peratus dalam kalangan isi rumah. - AGENSI

Berita Harian X