Jumaat, 11 March 2022 | 5:31pm
Kakitangan perubatan melakukan ujian COVID-19 menggunakan Kit Ujian Antigen (ATK) terhadap seorang guru sekolah di Pattani, Thailand sebelum peperiksaan kemasukan universiti diadakan. - Foto AFP
Kakitangan perubatan melakukan ujian COVID-19 menggunakan Kit Ujian Antigen (ATK) terhadap seorang guru sekolah di Pattani, Thailand sebelum peperiksaan kemasukan universiti diadakan. - Foto AFP

COVID-19 sub varian Omicron BA.2 kini dominan di Thailand

BANGKOK: COVID-19 sub varian Omicron BA.2 kini dominan di Thailand, menyumbang kira-kira 52 peratus daripada jumlah jangkitan coronavirus.

Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan, Dr Supakit Sirilak, berkata ubat yang berkesan bagi rawatan varian Delta dan sub varian Omicron BA.1 tidak begitu berkesan terhadap BA.2.

"Sub-varian BA.2 menyumbang 51.8 peratus kes membabitkan varian Omicron manakala BA.1 menyumbang 48.2 peratus jangkitan, sekali gus membuktikan ia lebih pantas menular.

"Data menunjukkan varian Omicron menyumbang 99.6 peratus daripada keseluruhan kes COVID-19 dan sudah menular ke semua wilayah, di mana daripada 1,898 ke yang diuji positif minggu lalu, hanya tujuh kes disebabkan varian Delta," katanya.

Tambah beliau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum memutuskan bahawa BA.2 lebih serius berbanding BA.1 tetapi BA.2 adalah 1.4 kali lebih mudah berjangkit berbanding BA.1 dan merebak lebih 10 peratus dalam kalangan isi rumah.

Katanya, BA.2 juga didapati sedikit lebih kebal terhadap vaksin dan rawatan Antibodi Monoklonal, yang agak mahal, namun berkesan digunakan terhadap BA.1 dan Delta tetapi tidak berkesan terhadap BA.2.

Pengarah Bahagian Berita Jabatan Penerangan, Kementerian Luar, Maratee Nalita Andamo, berkata sub-varian BA.2 lebih mudah menular berbanding sub-varian BA.1 dan kini menjadi dominan di negara itu.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand merekodkan 22,984 kes baharu menerusi ujian RT-PCR dan 74 kematian, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini 3,111,857 jangkitan dan 23,512 kematian sejak wabak melanda pada 2020.

Selain itu, seramai 49,494 orang disahkan positif COVID-19 melalui kit ujian antigen tetapi angka itu tidak termasuk dalam jumlah kes harian.

Sementara itu, Pejabat Keselamatan Kesihatan Kebangsaan Thailand (NHSO) mendedahkan pihaknya membayar 1.51 bilion baht (RM191 juta) kepada 12,714 mangsa mengalami kesan sampingan selepas menerima vaksin COVID-19.

Seramai 15,933 orang memfailkan aduan kerana mengalami kesan sampingan selepas menerima vaksin COVID-19 dari 19 Mei 2021 hingga 8 Mac tahun ini, menurut NHSO.

"Sementara itu, 2,328 aduan ditolak kerana kesan sampingan tiada kaitan dengan vaksinasi dan 891 kes lagi dalam pertimbangan," menurut laporan portal berita The Nation, yang memetik NHSO. - AGENSI

Berita Harian X