Jumaat, 25 Februari 2022 | 2:01pm
 Gempa bumi menyebabkan struktur kediaman di perkampungan Kajai, Pasaman Barat runtuh. - Foto AFP
Gempa bumi menyebabkan struktur kediaman di perkampungan Kajai, Pasaman Barat runtuh. - Foto AFP

Dua korban gempa bumi 6.2 skala Richter landa Sumatera

PADANG, INDONESIA: Sekurang-kurangnya dua maut dalam kejadian gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter yang melanda kepulauan Sumatera hari ini.

Gempa itu berlaku hanya beberapa minit selepas gegaran kecil ketika penduduk yang ketakutan mula mengosongkan kediaman masing-masing.

"Kami semua meninggalkan rumah kami (selepas gempa pertama)," kata Yudi Prama Agustino, 36, kepada AFP.

"Saya mempunyai bayi berusia satu tahun, jadi dalam keadaan panik saya menolak kereta sorong bayi keluar dari rumah."

Gempa bumi melanda utara pulau itu pada kedalaman 12 kilometer, kira-kira 70 kilometer dari bandar Bukittinggi di wilayah Sumatera Barat, menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Kampung Agustino di Agam terletak 40 kilometer dari Bukittinggi.

"Saya perasan ada gempa bumi kerana mainan anak-anak saya terjatuh. Saya panik kerana ada juga mentua saya di dalam rumah dan mereka agak uzur dan sakit," kata Agustino mengenai gegaran pertama yang direkodkan pada 5.0 oleh USGS.

"Sebaik sahaja kami berada di luar, gempa bumi 6.2 lebih kuat berlaku dan semua orang panik," tambahnya.

Dua orang maut dan 20 cedera di Pasaman Barat, kira-kira 17 kilometer dari pusat gempa, menurut Ketua Agensi Mitigasi Bencana Nasional (BNPB) Suharyanto.

Agensi meteorologi Indonesia BMKG memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi cerun kerana bimbang berlaku tanah runtuh pada kemuncak musim hujan.

Gempa itu dirasai di wilayah jiran Riau dan Sumatera Utara serta sejauh Malaysia dan Singapura. Tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Imej yang dikongsi dengan AFP dari bandar Pasaman, berhampiran pusat gempa, menunjukkan sebahagian rumah runtuh.

Kediaman datuk bandar juga mengalami kerosakan, menurut Suharyanto.

Rakaman televisyen menunjukkan pesakit dibawa keluar dari sebuah hospital di ibu kota wilayah Sumatera Barat, Padang.

Ketua Agensi Mitigasi Bencana Pasaman, Alim Bazar memberitahu AFP beberapa bangunan mengalami keretakan.

Di Singapura, gegaran turut dirasai kira-kira jam 9.45 pagi waktu tempatan.

Polis dan perkhidmatan keselamatan menerima beberapa panggilan daripada orang awam yang melaporkan gegaran terbabit.

Di Malaysia pula, Jabatan Meteorologi memaklumkan gegaran dirasai di pantai barat Semenanjung.

"Gegaran dirasai terutama di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor," katanya menerusi ciapan di Twitter.

Pada 2004, gempa bumi berukuran 9.1 pada skala Richter melanda pantai Sumatera mengakibatkan tsunami yang meragut lebih 220,000 nyawa. - AFP

Berita Harian X