BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand bertungkus-lumus berkejar dengan masa untuk menyelamatkan batu karang daripada musnah akibat tumpahan minyak yang sudah hanyut ke lebih banyak kawasan pantai, lapor Reuters.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Thailand, Varawut Silpa-archa, berkata keadaan semakin genting untuk cuba mencegah tumpahan minyak itu daripada sampai ke pantai Ao Prao, sebuah teluk kecil di Koh Samet yang juga adalah pulau peranginan yang popular.
"Jika tumpahan minyak itu sampai ke kawasan terbabit, ia akan menjejaskan pantai dan menyebabkan kerosakan teruk pada batu karang di kawasan air cetek," kata Varawut.
Tumpahan minyak itu berlaku akibat kebocoran pada saluran paip milik Star Petroleum Refining Public Company Limited (SPRC) Selasa lalu.
Ia dibawa arus ke pantai pada Jumaat, mencemarkan pesisir pantai untuk jarak lebih dua kilometer (km).
Dianggarkan kira-kira 50,000 liter minyak mentah bocor daripada saluran paip itu, kira-kira 20 km ke tenggara Thailand.
Pantai Mae Ramphueng di wilayah Rayong diisytiharkan kawasan bencana selepas tumpahan minyak hanyut ke pantai itu pada Jumaat lalu.
Imej satelit daripada Agensi Pembangunan Teknologi Geo-Informatik dan Angkasa (GISTDA) Thailand menunjukkan tompokan minyak sudah merebak ke kawasan seluas 67 km. - AGENSI