Sabtu, 29 Januari 2022 | 9:22pm
Polis Indonesia mengiringi suspek terbabit dalam pergaduhan berdarah di sebuah kelab malam di di Sorong, Papua Barat. - Foto AFP
Polis Indonesia mengiringi suspek terbabit dalam pergaduhan berdarah di sebuah kelab malam di di Sorong, Papua Barat. - Foto AFP

Pergaduhan di kelab malam ragut 18 nyawa, 11 ditahan

SORONG: Polis menahan 11 individu selepas kes pergaduhan yang meragut 18 nyawa di sebuah kelab malam di wilayah paling timur di Indonesia.

Pergaduhan itu berlaku Selasa lalu di Sorong, Papua Barat, menyebabkan 18 terbunuh, kebanyakannya akibat terperangkap dalam kebakaran di kelab malam Double O.

Sebelum ini, Polis Nasional Indonesia memaklumkan 19 individu maut dalam kes itu, namun kemudian diperbetulkan susulan 'perkembangan terkini di lapangan'.

Ketua Polis Papua Barat, Tornagogo Sihombing, mengesahkan penahanan 11 individu itu, dengan dua daripadanya dipercayai menikam seorang mangsa manakala tujuh lagi suspek diburu.

Sembilan lagi yang ditahan dipercayai memulakan kebakaran yang meragut nyawa pengunjung dan pekerja kelab malam itu, termasuk seorang DJ jemputan dan anggota kumpulan nyanyian.

Menurut polis, tragedi Selasa lalu adalah sebahagian daripada pergaduhan berterusan antara dua kumpulan etnik dan kejadian terbaru itu berlaku akibat salah faham.

Suasana bertukar tegang apabila individu yang bergaduh mula menggunakan senjata seperti parang, panah dan bom botol Molotov.

Pihak berkuasa kemudian memanggil pemimpin kedua-dua kumpulan etnik itu untuk menenangkan keadaan dan meminta mereka menyerahkan suspek. - AFP

Berita Harian X