Sabtu, 29 Januari 2022 | 7:32am
Anggota Tentera Laut Thailand memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) guna kertas khas untuk membersihkan tumpahan minyak akibat kebocoran daripada paip dasar di wilayah Rayong, timur Thailand. - Foto Reuters
Anggota Tentera Laut Thailand memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) guna kertas khas untuk membersihkan tumpahan minyak akibat kebocoran daripada paip dasar di wilayah Rayong, timur Thailand. - Foto Reuters

Tumpahan minyak cemari pantai Rayong Thailand

BANGKOK: Sebahagian minyak yang bocor daripada jaluran paip dasar laut di Thailand didapati mengalir sehingga ke sebuah pantai Rayong, wilayah timur Thailand.

Menurut seorang pegawai kanan tentera lautnya, pasukan itu sedang membendung tumpahan minyak di Teluk Thailand dan dianggarkan memerlukan lebih sebulan untuk memulihkan kembali kawasan itu, berikutan kebocoran minyak dianggar sekitar 50,000 liter.

Tumpahan berpunca dari jaluran paip dimiliki Star Petroleum Refining Public Company (SPRC) bermula Selasa lalu dan dapat dikawal sehari kemudian, selepas tumpahan mencemari perairan Teluk Thailand terletak sejauh 20 kilometer (km) di timur Thailand.

Berdasarkan cerapan imej satelit Agensi Pembangunan Teknologi Geo-Informatik dan Angkasa (GISTDA) kerajaan menunjukkan, kawasan laut terkesan seluas 47 km persegi sebelum tumpahan itu dihanyutkan ke pantai Rayong.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Pencemaran, Attapon Charoenchansa, mengesahkan kejadian itu kepada media ketika melakukan pemeriksaan tumpahan minyak di Pantai Mae Ramphueng di Rayong.

Beliau berkata, penggunaan penyerap tumpahan minyak sejak beberapa hari lalu, dilihat dapat mengurangkan impak kejadian itu berbanding ketika tumpahan yang berlaku di jaluran paip bawah laut lain pada 2013 sehingga mengakibatkan kemusnahan alam sekitar termasuk memberi kesan kepada industri perikanan serta pelancong, apabila memerlukan masa berbulan untuk dipulihkan.

Katanya, pegawai dari tentera laut, SPRC dan sukarelawan terlatih lain akan membantu membersihkan minyak di pantai berkenaan.

Petugas SPRC sebelum ini meletakkan penghadang minyak yang panjang berhampiran garis air pasang bagi mengekalkan tumpahan dari mencemari pantai tropika itu.

Pihak berkuasa sebelum ini juga memberi amaran bahawa tumpahan itu boleh memberi kesan kepada Taman Negara Khao Lam Ya, terumbu karang eksotik dan hidupan laut.

Berikutan kejadian itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Atirat Ratanasate, berkata kerajaan Thailand memfailkan aduan rasmi untuk mendapatkan pampasan akibat kemusnahan disebabkan tumpahan minyak. - REUTERS

Berita Harian X