Jumaat, 28 Januari 2022 | 8:13pm
Gambar ihsan Tentera Laut Diraja Thailand menunjukkan kawasan tumpahan minyak akibat kebocoran paip dasar laut di Teluk Thailand, dekat Rayong. - Foto AFP
Gambar ihsan Tentera Laut Diraja Thailand menunjukkan kawasan tumpahan minyak akibat kebocoran paip dasar laut di Teluk Thailand, dekat Rayong. - Foto AFP

Pihak berkuasa Thailand usaha bersihkan tumpahan minyak

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand sedang bertungkus-lumus membersihkan segera tumpahan minyak mentah yang disebabkan oleh kebocoran saluran paip dasar laut di luar pantai Rayong.

Terkini, 10 kapal tambahan dikerahkan untuk mengawal tumpahan minyak selepas kira-kira 160,000 liter minyak bocor dari saluran paip dasar laut kira-kira 20 kilometer (km) ke tenggara Kawasan Perindustrian Map Ta Phut.

Selain itu, bot-bot nelayan di sekitar juga meletakkan penahan (boom) untuk mengawal tumpahan minyak daripada merebak sampai ke Taman Negara Moo Koh Samet-Khao Laem Ya.

Kebocoran pada saluran paip milik Star Petroleum Refining Public Company Limited (Star Petroleum) berlaku kira-kira jam 9 malam waktu tempatan pada Selasa lalu.

Star Petroleum berkata kebocoran minyak itu berlaku di satu bahagian pelantarnya iaitu jeti terapung di luar pesisir yang digunakan oleh kapal tangki petroleum bagi memindahkan minyak mentah untuk ditapis di kawasan perindustrian.

Syarikat itu mengumumkan ia berjaya menghentikan kebocoran pada paip dasar lautnya pada 12.18 pagi kelmarin dan mengawal keadaan.

Gambar satelit Agensi Pembangunan Teknologi Geo-Informatik dan Angkasa (GISTDA) menunjukkan tompokan minyak merebak meliputi 47 km persegi atau kira-kira sembilan kali saiz Pulau Samet.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Laut dan Sumber Pantai, Sophon Thongdee, hari ini berkata pemeriksaan awal menunjukkan tiada kerosakan besar berlaku kepada hidupan atau habitat marin setakat ini.

"Terumbu karang dalam keadaan normal, tiada mendapan minyak dan bahan mendap ditemui," katanya.

Sementara itu, Gabenor Rayong, Channa Lamsaeng, berkata penahan diletak untuk mengawal penyebaran tumpahan minyak itu. - BERNAMA

Berita Harian X