Khamis, 27 Januari 2022 | 9:14am
Foto fail: Penunjuk perasaan membantah rampasan kuasa oleh tentera dan menuntut pembebasan Aung San Suu Kyi dalam demonstrasi di Yangon, Myanmar pada 6 Februari 2021. - Foto REUTERS
Foto fail: Penunjuk perasaan membantah rampasan kuasa oleh tentera dan menuntut pembebasan Aung San Suu Kyi dalam demonstrasi di Yangon, Myanmar pada 6 Februari 2021. - Foto REUTERS

Pelabur, pedagang dinasihat berhati-hati di Myanmar - AS

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Rabu memberi amaran kepada entiti perniagaan supaya lebih berhati-hati menjalankan perniagaan di Myanmar kerana berisiko dikaitkan dengan kerajaan ketenteraan yang terbabit dengan pelanggaran undang-undang dan hak asasi manusia.

Pihak yang terbabit dengan perniagaan dikawal rejim ketenteraan berdepan risiko terbabit dalam kelakuan yang mendedahkan mereka kepada risiko reputasi, kewangan dan undang-undang termasuk melanggar sekatan dan undang-undang pengubahan wang haram, menurut satu kenyataan daripada jabatan enam peringkat Kabinet.

Pelabur dan pedagang diberi amaran supaya mengelak perniagaan dimiliki kerajaan, sektor permata dan besi, hartanah dan projek pembinaan serta senjata.

"Entiti dan sektor berkenaan dikenal pasti sebagai industri utama membekalkan sumber ekonomi untuk rejim ketenteraan Burma," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain juga mengenakan sekatan perniagaan dengan Myanmar sejak tentera melakukan rampasan kuasa setahun lalu.

Sejak kejadian itu, tentera didakwa melakukan kempen penindasan teruk dan berdarah terhadap gerakan pembangkang.

"Tentera secara tidak adil menangkap pemimpin kerajaan yang dipilih secara demokrasi, menyekat utiliti dan perjalanan serta melakukan pelanggaran hak asasi manusia serius dan penderaan lain terhadap individu di Burma, termasuk melakukan penindasan penunjuk perasaan secara ganas," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan Myanmar tidak secukupnya menguatkuasakan langkah standard membendung pembiayaan keganasan dan pengubahan wang haram, sekali gus mendedahkan pelabur serta peniaga terhadap risiko.

Kenyataan itu ditandatangani Jabatan Negara, Kewangan, Perdagangan, Buruh dan Keselamatan Dalam Negeri serta Perwakilan Perdagangan AS yang menekankan ia hanya nasihat, bukannya perintah perundangan.

Ia susulan beberapa syarikat asing utama yang melabur di negara terbabit menarik diri selepas kerajaan ketenteraan terus memperketatkan kawalan.

Jumaat lalu, syarikat tenaga gergasi, TotalEnergies dan Chevron mengumumkan keluar dari Myanmar. Disusuli firma besar yang mengambil tindakan sama atau membekukan rancangan pelaburan.

Ia membabitkan syarikat seperti Telenor dari Norway, British American Tobacco, Voltalia of France dan Toyota.

Syarikat TotalEnergies minggu lalu mendakwa situasi di Myanmar mencakupi aspek hak asasi manusia dan secara amnya lunas undang-undang semakin teruk di negara berkenaan mendorong pihaknya menilai semula keadaan. - AFP

Berita Harian X