Khamis, 27 Januari 2022 | 8:25am
Foto fail: Penunjuk perasaan berhimpun membantah rampasan kuasa di Yangon, Myanmar pada 17 Februari 2021. - Foto REUTERS.
Foto fail: Penunjuk perasaan berhimpun membantah rampasan kuasa di Yangon, Myanmar pada 17 Februari 2021. - Foto REUTERS.

Krisis Myanmar: Majlis Keselamatan PBB akan temui wakil Kemboja

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadualkan bertemu wakil Kemboja selaku Pengerusi ASEAN 2022 pada Jumaat bagi membincangkan situasi di Myanmar susulan rampasan kuasa yang menyaksikan pemimpin Aung San Suu Kyi digulingkan.

Sumber diplomatik berkata Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn dijangka menghadiri rundingan tertutup dengan utusan khas PBB ke Myanmar, Noeleen Heyzer.

Menteri berkenaan dijangka membentangkan laporan hasil lawatan kontroversi ke Myanmar pada awal Januari lalu oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, dalam lawatan kepemimpinan luar pertama sejak junta berkuasa Februari tahun lalu.

ASEAN berbelah bagi dalam konflik di Myanmar dan perdebatan mengenainya berlegar dalam blok kesatuan negara Asia Tenggara itu yang dikatakan tidak serius membantu Myanmar keluar daripada krisis berkenaan.

Pengkritik mendakwa lawatan Hun Sen berisiko kerana ia umpama mengabsahkan junta.

Ketika kunjungan itu, Hun Sen didakwa tidak bertemu Suu Kyi, yang ditahan selepas rampasan kuasa berlaku di negara itu dan kini pemimpin wanita itu berdepan tuduhan jenayah serta rasuah.

"Myanmar ada 'semua bahan untuk perang saudara'," kata Sokhonn.

April lalu, ASEAN bersetuju dengan lima perkara konsensus yang bertujuan untuk memulihkan keadaan semakin teruk di Myanmar.

Junta menerima pelan itu tetapi ia mempunyai sedikit kesan dengan tentera terus menindas pihak berbeza pendapat dan ada kalanya bertindak ganas.

Dalam campur tangan yang jarang berlaku pada Isnin di Perhimpunan Agung PBB, Duta Myanmar, Kyaw Moe Tun, yang dipecat oleh junta tetapi masih kekal dalam kedudukannya di PBB, menggesa badan antarabangsa itu memberikan bantuan serta perlindungan untuk penduduk negara itu. - AFP

Berita Harian X