Selasa, 25 Januari 2022 | 8:31pm
Perdana Menteri Kemboja yang juga Pengerusi ASEAN, Hun Sen. - Foto REUTERS
Perdana Menteri Kemboja yang juga Pengerusi ASEAN, Hun Sen. - Foto REUTERS

Junta Myanmar dijemput hadiri sidang jika ada kemajuan dalam perjanjian ASEAN

PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen memaklumkan sudah menjemput ketua junta Myanmar untuk menghadiri persidangan ASEAN, dengan syarat melakukan kemajuan terhadap rancangan aman yang dipersetujui tahun lalu.

Hun Sen yang juga Pengerusi ASEAN, akan bercakap dengan ketua junta, Min Aung Hlaing menerusi panggilan video esok.

"Beliau (Hun Sen) memaklumkan sudah menjemput Min Aung Hlaing menghadiri persidangan ASEAN sekiranya ada kemajuan dalam pelaksanaan lima perjanjian.

"Sekiranya tidak (hadir), Aung Hlaing perlu menghantar wakil bukan politik ke mesyuarat ASEAN," kata satu kenyataan di Facebook Hun Sen, hari ini, ketika menyimpulkan hasil panggilan telefonnya dengan Perdana Menteri Malaysia.

Sejak rundingan bersemuka terakhir antara Hun Sen dan Aung Hlaing awal bulan ini, pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dijatuhkan hukuman dan pesawat tentera dikerah dalam beberapa operasi.

Aung Hlaing mengetuai kudeta di Myanmar tahun lalu, dan ASEAN melaksanakan langkah mengejutkan dengan menyekat junta itu hadir ke persidangan blok berkenaan berikutan gagal melaksanakan konsensus lima perjanjian ASEAN berhubung menamatkan keganasan dan membenarkan dialog.

Sebelum ini, Kemboja menyatakan hasrat untuk berunding dengan junta, namun Hun Sen diberi tekanan oleh beberapa pemimpin ASEAN bulan ini, termasuk Malaysia, Indonesia dan Singapura, untuk tidak mengenepikan perjanjian berkenaan.

Lawatan Hun Sen ke Myanmar pada 7 Januari lalu menjadi isu hangat bagi beberapa negara yang bimbang ia bakal dianggap sebagai satu pengiktirafan ASEAN terhadap pemerintahan Aung Hlaing.

Konsensus ASEAN antaranya adalah menghentikan serangan, memudahkan bantuan kemanusiaan dan memberi akses penuh kepada utusan khas ASEAN untuk semua pihak terbabit dalam konflik di Myanmar. - REUTERS

Berita Harian X