Selasa, 25 Januari 2022 | 6:06pm
Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menghadiri majlis menandatangani perjanjian di Pulau Bintan hari ini. - Foto AGENSI
Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menghadiri majlis menandatangani perjanjian di Pulau Bintan hari ini. - Foto AGENSI

Indonesia, Singapura meterai perjanjian ekstradisi, ruang udara, pertahanan

JAKARTA: Indonesia dan Singapura hari ini menandatangani perjanjian ekstradisi bilateral, yang dijangka bakal membantu Jakarta mengheret individu yang didakwa menyimpan berbilion dolar wang negara di luar pesisir, ke muka pengadilan.

Menteri kanan dari kedua-dua negara turut menandatangani perjanjian bilateral membabitkan ruang udara dan pertahanan, dalam majlis yang disiarkan di akaun YouTube Sekretariat Negara Indonesia.

Majlis itu susulan pertemuan antara Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Pulau Bintan, Indonesia sebelum ini, sebagai sebahagian pertemuan tahunan mereka.

Isu ekstradisi kerap menjadi perkara yang mengecewakan bagi Indonesia yang bimbang mengenai kesukaran membawa beberapa individu dalam buruan yang didakwa menggelapkan sejumlah besar wang ketika krisis kewangan Asia, ke muka pengadilan.

"Perjanjian ekstradisi ini akan meningkatkan kerjasama dan usaha menangani jenayah, serta menghantar signal yang jelas dan positif kepada pelabur," kata Hsien Loong pada majlis itu.

Pada 2007, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan Hsien Loong terbabit dalam usaha menandatangani perjanjian ekstradisi dan kerjasama pertahanan, namun ia tidak pernah diratifikasi oleh Parlimen Indonesia.

Kementerian Hal Ehwal Pelaburan dan Maritim Indonesia dalam satu kenyataan memaklumkan, menerusi perjanjian ekstradisi itu, individu yang melakukan 31 jenis jenayah boleh diekstradisi dan membabitkan kesalahan yang dilakukan selama 18 tahun lalu.

Katanya, perjanjian itu bermakna individu yang melakukan jenayah tidak boleh lagi melarikan diri dengan menukar kewarganegaraan.

"Pelaksanaan perjanjian ekstradisi jenayah akan mewujudkan kesan pencegahan jenayah di Indonesia dan Singapura.

"Bagi Indonesia, pelaksanaan perjanjian ekstradisi ini akan membantu menangkap individu dalam buruan sejak sekian lama dan mempermudahkan pelaksanaan perintah presiden bagi BLBI," katanya.

Ketika ini, Indonesia mewujudkan pasukan petugas khas baharu dikenali sebagai BLBI bagi menyiasat bantuan dana AS$8 bilion (RM33.5 bilion) kepada pemilik dan peminjam bank selepas krisis kewangan Asia pada hujung 1990-an, yang tidak pernah dibayar semula.

Perjanjian lain ditandatangani termasuk memberi Indonesia lebih kawalan ruang udara Riau dan kepulauan Natuna, serta perjanjuan pertahanan. - AGENSI

Berita Harian X