Selasa, 25 Januari 2022 | 11:47am
Kelab malam Double O di Sorong, Papua Barat, Indonesia terbakar menyebabkan 18 orang maut. FOTO AFP
Kelab malam Double O di Sorong, Papua Barat, Indonesia terbakar menyebabkan 18 orang maut. FOTO AFP

18 maut dua kumpulan bergaduh di Papua

SORONG: Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dalam pertempuran antara dua kumpulan di sebuah kelab di bandar ini, kata polis.

Ketua Polis Sorong, Ary Nyoto Setiawan berkata, kebanyakannya maut selepas kelab malam itu terbakar akibat pertempuran itu.

"Pertembungan berlaku malam tadi pada jam 11 malam. Ia adalah konflik yang berpanjangan daripada pertempuran pada hari Sabtu.

"Kelab itu terbakar dari tingkat satu. Kami cuba memindahkan seramai mungkin orang, tetapi selepas bomba memadamkan kebakaran pagi ini, kami menemui beberapa mayat di sana," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Seorang mangsa ditikam dan 17 lagi maut dalam kebakaran di kelab malam 'Double O', kata pegawai.

"Kami menemui 17 mayat di Double O, semuanya ditemui di tingkat dua. Kami membawa mayat ke Hospital Selebe Solu," kata Ketua Bahagian Kesihatan Polis Sorong, Edward Panjaitan.

Polis kini sedang menyiasat punca kebakaran. - AFP

Berita Harian X