Ahad, 23 Januari 2022 | 11:45am
Presiden Indonesia, Joko Widodo @ Jokowi. - Foto fail AFP
Presiden Indonesia, Joko Widodo @ Jokowi. - Foto fail AFP

Jokowi tekan kepentingan Konsensus ASEAN di Myanmar

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menekankan kepentingan melaksanakan Konsensus Lima Perkara ASEAN berhubung isu Myanmar ketika perbualan dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Jokowi menerima panggilan daripada Pengerusi baharu ASEAN itu kelmarin, susulan lawatan Hun Sen ke Myanmar baru-baru ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar Indonesia semalam, Jokowi menegaskan pendekatan ASEAN terhadap Myanmar mesti berdasarkan prinsip dipersetujui bersama, terutama yang menyentuh konsensus itu.

Beliau berkata, Indonesia kesal tentera Myanmar tidak menunjukkan sebarang komitmen untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara ASEAN ketika lawatan Perdana Menteri Kemboja itu ke Myanmar.

Katanya, konsensus terbabit tidak boleh dikaitkan dengan pelaksanaan hala tuju lima perkara dikehendaki Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar.

Kenyataan itu menjelaskan, Presiden Jokowi juga meminta tentera Myanmar memberi akses kepada utusan khas Pengerusi ASEAN supaya komunikasi segera dapat diwujudkan dengan semua pihak berkaitan di negara terbabit.

Katanya, komunikasi penting untuk mendorong dialog nasional yang inklusif di Myanmar.

"Sekiranya masih tiada kemajuan ketara dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN, pertubuhan serantau itu mesti mengekalkan keputusannya untuk hanya membenarkan Myanmar diwakili oleh perwakilan bukan politik pada mesyuarat ASEAN," katanya.

Sementara itu, Hun Sen mencadangkan pembentukan Troika ASEAN terdiri daripada Menteri Luar atau utusan khas Kemboja, Menteri Luar Brunei dan Menteri Luar Indonesia, yang akan disokong oleh Setiausaha Agung ASEAN.

Katanya, kumpulan dicadangkan itu akan ditugaskan untuk memantau pelaksanaan konsensus di Myanmar.

Menjawab cadangan itu, Presiden Jokowi berkata ia perlu dibincangkan lebih lanjut oleh Menteri-Menteri Luar semua anggota ASEAN.

Di samping itu, beliau mengalu-alukan cadangan mengadakan mesyuarat perundingan, yang akan dihadiri utusan khas dan Setiausaha Agung ASEAN, wakil Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre), pihak berkuasa Myanmar serta agensi dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Cadangan mesyuarat itu bertujuan menyokong pengagihan bantuan kemanusiaan tanpa diskriminasi kepada semua rakyat Myanmar yang memerlukan. - AGENSI

Berita Harian X