Ahad, 23 Januari 2022 | 9:45am
Fasa pertama projek Laluan Keliling Pulau (RIR) dibuka untuk orang ramai bermula semalam. - Foto ihsan NParks (Berita Harian Singapura)
Fasa pertama projek Laluan Keliling Pulau (RIR) dibuka untuk orang ramai bermula semalam. - Foto ihsan NParks (Berita Harian Singapura)

Fasa pertama Laluan Keliling Pulau dibuka

SINGAPURA: Fasa pertama projek Laluan Keliling Pulau (RIR) dibuka untuk orang ramai mulai semalam dari timur laut hingga ke selatan Singapura.

Dengan pembukaan itu, penunggang basikal dan pejalan kaki boleh beriadah sambil menikmati keindahan alam semula jadi di laluan sepanjang 75 kilometer.

Laluan bermula dari Rower's Bay Park di Seletar, sepanjang Sungai Singapura, dan berakhir di Berlayer Creek, berhampiran Hutan Simpanan Labrador.

Memetik laporan Berita Harian Singapura, dengan terbinanya RIR menjelang 2035 kelak, ia akan menjadi laluan riadah terpanjang yang berhubung di seluruh pulau.

Laporan itu menjelaskan ia adalah pelan menyeluruh Lembaga Taman Negara (NParks) untuk melaksanakan rangkaian laluan riadah sepanjang 360 kilometer menjelang 2035.

Pembukaan Fasa Satu RIR semalam dilaksanakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi, Heng Swee Keat bersama Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara) Indranee Rajah dan Penasihat GRC East Coast, Dr Maliki Osman, dengan menanam dua pokok di Changi Bay Point, antara laluan baharu sepanjang RIR.

"Laluan Keliling Pulau ini adalah sebahagian daripada usaha kami yang lebih luas untuk mengubah Singapura menjadi Bandar dalam Alam Semula Jadi di bawah Pelan Singapura Menghijau 2030.

"Menjelang 2030, setiap isi rumah akan berada dalam jarak 10 minit berjalan kaki dari sebuah taman," kata Swee Keat yang berharap penduduk Singapura menikmati laluan baharu RIR itu.

Laluan baharu lain yang ditambah adalah di Sengkang Riverside Park dan Jalan Kayu.

Antara ciri utama Fasa Satu RIR adalah dua jambatan penghubung di Changi dan Riverside Park.

Pengarah Kumpulan Pembangunan Taman di NParks, Kartini Omar, mengalu-alukan kunjungan orang ramai namun mengingatkan mereka harus mematuhi penjarakan fizikal.

"Saya harap pengunjung tidak tergesa-gesa untuk mengunjungo tempat-tempat ini. Anda boleh datang bila-bila masa dan menikmati serta menghargai ruang baharu yang kami buka untuk orang ramai," katanya.

NParks turut merancang meningkatkan rangkaian laluan riadah di seluruh pulau dengan 500 kilometer penghubung menjelang 2030. - AGENSI

Berita Harian X