Khamis, 6 Januari 2022 | 6:12pm
Filipina mempunyai jumlah perkahwinan kanak-kanak ke-12 tertinggi di dunia. - Foto AGENSI
Filipina mempunyai jumlah perkahwinan kanak-kanak ke-12 tertinggi di dunia. - Foto AGENSI

Filipina larang perkahwinan kanak-kanak

MANILA: Perkahwinan kanak-kanak tidak dibenarkan di Filipina hari ini kerana undang-undang yang mengharamkan amalan itu berkuat kuasa di negara di mana satu daripada enam gadis berkahwin sebelum umur 18 tahun.

Negara Asia Tenggara yang miskin itu mempunyai jumlah perkahwinan kanak-kanak ke-12 tertinggi di dunia, menurut kumpulan hak asasi Plan International yang berpangkalan di Britain, dengan amalan budaya yang dipegang sejak sekian lama dan ketidaksamaan jantina menghalang perubahan.

Namun, undang-undang baharu itu, yang ditandatangani oleh Presiden Rodrigo Duterte dan dikeluarkan kepada umum hari ini, menetapkan hukuman penjara sehingga 12 tahun kerana berkahwin atau bersekedudukan dengan sesiapa di bawah umur 18 tahun.

Orang yang mengatur atau meraikan kesatuan bawah umur juga menghadapi hukuman yang sama.

"Negara... memandang perkahwinan kanak-kanak sebagai satu amalan yang membentuk penderaan kanak-kanak kerana ia merendahkan, menjatuhkan, dan menghina nilai intrinsik dan maruah kanak-kanak," kata undang-undang itu.

Kerajaan berkata, undang-undang itu selaras dengan konvensyen antarabangsa mengenai hak wanita dan kanak-kanak.

Bagaimanapun, beberapa bahagian undang-undang telah digantung selama setahun untuk membolehkan tempoh peralihan bagi orang Islam dan masyarakat orang asli di mana perkahwinan kanak-kanak adalah perkara biasa.

Laporan tahun lalu oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata lebih setengah bilion gadis dan wanita di seluruh dunia telah berkahwin pada zaman kanak-kanak, dengan kadar tertinggi ditemui di sub-Sahara Afrika dan Asia Selatan.

Namun, data baru-baru ini menunjukkan amalan itu secara puratanya menurun di seluruh dunia. - AFP

Berita Harian X