Jumaat, 24 Disember 2021 | 4:25pm
Gambar fail menunjukkan sebahagian penumpang pesawat Singapore Airlines menunggu keputusan ujian saringan COVID-19 selepas tiba menggunakan kemudahan Laluan Perjalanan Divaksinasi (VTL), sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Gambar fail menunjukkan sebahagian penumpang pesawat Singapore Airlines menunggu keputusan ujian saringan COVID-19 selepas tiba menggunakan kemudahan Laluan Perjalanan Divaksinasi (VTL), sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

53 daripada 65 kes Omicron di Singapura tiba melalui VTL

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan 53 daripada 65 kes import Omicron yang dikesan di Singapura hingga Isnin lalu tiba melalui Laluan Perjalanan Divaksinasi (VTL).

Daripada kes berkenaan, 41 dikesan melalui ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) semasa ketibaan manakala baki 12 dikesan melalui rejim ujian Singapura yang dipertingkatkan.

Lebih 90 peratus kes Omicron adalah warga Singapura yang pulang ke tanah air, penduduk tetap dan penduduk jangka panjang, kata MOH ketika menjawab pertanyaan The Straits Times.

Rabu lalu, MOH mengumumkan pembekuan jualan tiket penerbangan dan bas VTL baru selama sebulan susulan bilangan kes import mencecah paras tertinggi baru iaitu 76 kes sejak kemunculan varian Omicron.

Langkah terbabit, yang berkuat kuasa bermula semalam hingga 20 Januari depan, bermakna syarikat penerbangan tidak lagi dibenarkan menjual tiket penerbangan VTL baru untuk perjalanan ke Singapura.

Penggantungan jualan juga dilaksanakan ke atas mereka yang melakukan perjalanan VTL darat Singapura-Malaysia.

Bagaimanapun, pengunjung yang layak dan sudah membeli tiket lebih awal masih dibenarkan melakukan perjalanan melalui skim perjalanan bebas kuarantin.

Pengunjung VTL yang tidak mematuhi rejim ujian pantas antigen tujuh hari mandatori akan menghadapi notis jangan keluar rumah dan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Penyakit Berjangkit.

MOH berkata ia sedang melakukan pengesanan kontak aktif untuk mengurangkan penularan seterusnya.

Kementerian itu juga berkata semua kontak rapat kedua-dua kes Omicron yang disyaki dan disahkan akan diletakkan di bawah kuarantin 10 hari di kemudahan khusus untuk mengurangkan penularan. - AGENSI

Berita Harian X