Khamis, 23 Disember 2021 | 9:27pm
Notis makluman pembekuan jualan tiket Laluan Perjalanan Divaksinasi (VTL). - Foto AGENSI
Notis makluman pembekuan jualan tiket Laluan Perjalanan Divaksinasi (VTL). - Foto AGENSI

Saringan pengunjung VTL ke Singapura diperketatkan

SINGAPURA: Saringan ke atas pengunjung yang datang melalui skim Laluan Perjalanan Divaksinasi (VTL) akan diperketatkan apabila mereka tiba di Singapura, kata Kementerian Kesihatan (MOH).

Semua peraturan berkaitan wajib dipatuhi mereka yang sudah membeli tiket perjalanan VTL sebelum pembekuan jualan dikuatkuasa bermula hari ini hingga 20 Januari depan.

Antara lain, mereka perlu menjalani ujian COVID-19 setiba mereka di sini dan melakukan ujian pantas antigen (ART) kendiri setiap hari.

Pengunjung yang datang melalui VTL darat perlu mengambil ART sementara yang datang melalui VTL udara perlu menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, MOH berkata pada hari kedua, keempat, kelima dan keenam, pengunjung dikehendaki menghantar hasil ART kendiri mereka dalam talian menggunakan pautan yang akan dihantar kepada mereka.

Mereka hanya boleh keluar melakukan aktiviti pada hari berkenaan jika hasil ujian disahkan negatif.

Pada hari ketiga dan ketujuh, ART mesti dilakukan di bawah penyeliaan di Pusat Ujian Digabungkan (CTC) atau Pusat Ujian Pantas (QTC) dan pengunjung hanya boleh keluar jika hasilnya negatif.

Pengunjung tidak menjalani ujian yang ditetapkan dan/atau tidak menyerahkan hasil ujian mereka akan diberi Perintah Menetap atau Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selain berdepan menghadapi tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Penyakit Berjangkit.

"Disebabkan peningkatan dalam kes (varian) Omicron di seluruh dunia, pengunjung harus melaksana tanggungjawab peribadi dengan meminimumkan interaksi sosial.

"Mereka perlu menahan diri daripada aktiviti berisiko tinggi di mana pelitup muka tidak dipakai, seperti makan di kedai makanan dan minuman, bersenam di gim atau menghadiri kelas kecergasan.

"Mereka juga harus elak menghadiri perhimpunan besar dan tempat sesak selama tujuh hari dari ketibaan, walaupun mereka mempunyai keputusan ART harian negatif," menurut kenyataan dikeluarkan MOH.

Pengunjung tidak sihat pula, termasuk yang menunjukkan simptom awal atau ringan, digesa bersikap bertanggungjawab sosial dan mendapatkan rawatan perubatan segera.

Semua syarat terbabit perlu dipatuhi mereka yang sudah membeli tiket perjalanan VTL sebelum pembekuan jualan diumumkan bermula hari ini hingga 20 Januari depan.

Selepas tarikh itu, pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) bagi COVID-19 dijangka mengurangkan kuota serta penjualan tiket VTL buat sementara bagi perjalanan bermula 21 Januari.

Menurut MTF, langkah sekatan dapat memberi masa untuk mengkaji dan memahami varian Omicron serta mengukuhkan pertahanan.

"Ini termasuk meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan dan membuat lebih ramai orang mendapatkan vaksin serta menerima vaksin penggalak.

"Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan menyesuaikan kapasiti VTL darat, mengambil kira perkembangan kesihatan awam di kedua-dua negara dan juga secara global," kata MTI.

Sementara itu, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), kapasiti serta penjualan tiket bagi VTL darat akan dikurangkan sehingga separuh mulai 21 Januari, dengan hanya 24 perjalanan bas sehala sehari.

Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dalam kenyataannya pula berkata ia akan mengehadkan penjualan tiket VTL udara kepada 50 peratus kuota yang disediakan. - AGENSI

Berita Harian X