Rabu, 22 Disember 2021 | 6:42pm
Gambar fail menunjukkan laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL Darat) di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Bahru ketika mula dibuka November lalu. - Foto NSTP
Gambar fail menunjukkan laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL Darat) di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Bahru ketika mula dibuka November lalu. - Foto NSTP

Penjualan tiket VTL udara, darat ke Singapura dibekukan mulai esok

SINGAPURA: Syarikat penerbangan tidak lagi dibenarkan menjual tiket penerbangan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) baharu ke Singapura mulai esok hingga 20 Januari depan.

Tindakan drastik penggantungan jualan yang turut terpakai kepada pengembara VTL darat Singapura-Malaysia itu diambil bagi mengetatkan kawalan sempadan susulan peningkatan jumlah kes import COVID-19 terutama varian Omicron.

Bagaimanapun, pengembara yang layak dan sudah membeli tiket lebih awal dibenarkan melakukan perjalanan melalui skim perjalanan bebas kuarantin.

Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan langkah kawalan sempadan baharu berkenaan berkuatkuasa hari ini.

Ia adalah peraturan anjakan terbesar dalam percubaan Singapura membuka semula sempadannya ketika ini, yang terpaksa dibuat apabila jumlah kes import mencecah paras tertinggi baharu sejak kemunculan varian Omicron.

"Ini akan memberi masa untuk mengkaji dan memahami varian Omicron serta memperkukuh pertahanan termasuk meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan dan mendapatkan lebih ramai orang divaksin serta menerima dos penggalak," katanya.

Pihak berkuasa juga akan mengurangkan sementara kuota VTL dan jualan tiket untuk perjalanan selepas 20 Januari depan, dalam langkah susulan bagi mengehadkan pendedahan kepada kes Omicron yang diimport.

Skim VTL membenarkan pengembara divaksin sepenuhnya dari negara terpilih memasuki Singapura tanpa perlu menjalani kuarantin.

Ini memudahkan perjalanan bebas kuarantin ke negara yang sebelum ini sudah membuka sempadannya kepada Singapura.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata ia akan mengehadkan jumlah jualan tiket penerbangan VTL ke Singapura kepada 50 peratus daripada kuota diperuntukkan mulai 21 Januari depan.

Selain itu, langkah berjaga-jaga tambahan juga akan dilaksanakan untuk melindungi komuniti penerbangan.

Semua pekerja lapangan terbang yang berinteraksi dengan penumpang termasuk mereka yang bekerja di kawasan awam seperti perhentian teksi, perlu memakai lebih banyak peralatan perlindungan diri, termasuk pelitup muka N95 dan pelindung muka.

Semua pekerja barisan hadapan lapangan terbang juga sekurang-kurangnya akan menjalani saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) mingguan, bukannya kitaran Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) tujuh hari.

Selain itu, pekerja barisan hadapan lapangan terbang yang berisiko tinggi akan menjalani RTK-Ag yang diselia majikan pada hari ketiga antara kitaran ujian ujian reaksi rantaian polimerase (PCR)

tujuh hari mereka.

Seterusnya, terdapat rejim ujian rutin PCR tujuh hari berjadual yang dipertingkatkan dengan RTK-Ag yang diselia majikan pada hari ketiga kitaran untuk kru udara Singapura.

Setakat kelmarin, terdapat 71 kes Omicron dikesan di Singapura, dengan 65 kes import dan enam kes tempatan.

MOH berkata, memandangkan penularan Omicron yang tinggi dan merebak ke banyak bahagian dunia, Singapura dijangka menemui lebih banyak kes Omicron di sempadan dan dalam komuniti. - AGENSI

Berita Harian X