Ahad, 19 Disember 2021 | 5:46pm
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

Indonesia tangguh umrah sehingga 2022 kerana Omicron

JAKARTA: Pemerintah Indonesia mengumumkan penangguhan ibadah umrah negara itu ke Makkah sehingga 2022 susulan ancaman COVID-19, lapor laman berita Merdeka.com.

Pengumuman itu dibuat susulan rayuan Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan Menteri Agama, Yaqut Choilil Qoumas, supaya orang ramai tidak melancong ke luar negara.

Ketua Pengarah Haji dan Umrah (PHU) di Kementerian Agama, Hilman Latief, berkata keputusan berkaitan ibadah umrah itu dibuat selepas ia dibincangkan ketika pertemuan dengan Persatuan Penganjur Kembara Umrah (PPIU).

"Keputusan menangguhkan ibadah umrah ini dibuat dengan mengutamakan kesihatan jemaah ketika pandemik COVID-19, terutama selepas kemunculan varian baharu Omicron.

"Persatuan PPIU menyokong saranan pemerintah untuk menangguhkan pelepasan ke luar negara biarpun rancangan umrah tertangguh lagi, semua pihak perlu faham pandemik belum berakhir, malah varian baharu yang lebih berbahaya kini muncul.

"Ada harapan pelepasan dilakukan walaupun jumlahnya berkurangan tetapi secara umumnya, persatuan PPIU memahami dan mematuhi rayuan untuk tidak ke luar negara," katanya.

Beliau berharap rayuan larangan perjalanan ke luar negara bukan saja terpakai kepada jemaah umrah tetapi juga kepada semua rancangan penerbangan ke luar negara.

Tambah Hilman, sebagai pengawal selia dan penyelia pelaksanaan ibadah umrah, Kementerian Agama terus berhubung dengan semua pihak berkaitan untuk terus berusaha ke arah pelaksanaan umrah yang sihat lagi selamat.

"Pelaksanaan umrah ketika pandemik juga menjadi titik tolak pelaksanaan ibadah haji pada tahun depan, dengan mengambil kira keadaan semasa pandemik coronavirus ketika itu.

"Penangguhan ini sememangnya satu keputusan yang pahit tetapi dilakukan untuk kebaikan bersama. Kami berharap semua dapat memahami dan semoga ada pengajaran daripada keputusan ini," katanya. – AGENSI

Berita Harian X