Rabu, 8 Disember 2021 | 11:36am
Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin (kiri) bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen di Istana Keamanan, Phnom Penh. - Foto AFP
Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin (kiri) bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen di Istana Keamanan, Phnom Penh. - Foto AFP

PM Kemboja lawat Myanmar bulan depan

PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen bakal mengadakan lawatan ke Myanmar untuk berunding bulan depan, sekali gus menjadi pemimpin antarabangsa pertama melawat negara itu sejak rampasan kuasa oleh tentera.

Jurucakap Perdana Menteri Kemboja, Eang Sophalleth, berkata lawatan itu dijadualkan berlangsung pada 7 dan 8 Januari.

Ia susulan kenyataan Hun Sen yang mentadbir Kemboja secara kuku besi selama lebih tiga dekad berikrar untuk 'bekerjasama' dengan junta Myanmar pada Isnin lalu, walaupun wujud usaha antarabangsa untuk memberi tekanan diplomatik terhadap pihak tentera itu.

Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin yang mengadakan perbincangan dengan Hun Sen di Phnom Penh semalam, memberikan jemputan rasmi dalam pertemuan itu.

Jemputan itu diberikan ketika Kemboja cuba membawa Myanmar kembali ke dalam ASEAN, selepas blok itu memulaukan Myanmar.

Dalam satu tindakan yang julung kali dilaksanakan, ASEAN yang kerap dilihat tidak bertaring, menghalang ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing daripada menyertai persidangan selepas beliau enggan membenarkan utusan khas blok itu bertemu Aung San Suu Kyi.

Kemboja akan menjadi Pengerusi ASEAN dalam penggiliran seterusnya tahun depan, dan kelmarin, Hun Sen menegaskan pemimpin Myanmar itu berhak untuk menghadiri sidang berkenaan.

Myanmar berada dalam keadaan kucar-kacir dan kelumpuhan ekonomi sejak tentera menggulingkan kerajaan awam pimpinan Suu Kyi, Februari lalu. - AGENSI

Berita Harian X