Sabtu, 4 Disember 2021 | 1:13pm
Pelawat di luar kawasan transit Lapangan Terbang Antarabangsa Changi. - Foto AFP
Pelawat di luar kawasan transit Lapangan Terbang Antarabangsa Changi. - Foto AFP

Singapura kuat kuasa saringan 7 hari

SINGAPURA: Bermula Isnin ini, semua pengembara yang memasuki negara itu menerusi Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL), perlu menjalani saringan COVID-19 setiap hari selama tujuh hari.

Pelaksanaan ini sebagai kaedah untuk mencegah penularan varian Omicron.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan akhbar berkata, langkah itu tambahan kepada ujian prapelepasan dan ketibaan yang perlu dihadapi pengembara, ketika ini.

Pengembara perlu membuat saringan sendiri mengguna kit ujian antigen dan memberi maklumat itu secara atas talian, kecuali pada hari ketiga dan ketujuh, apabila saringan itu dibuat dengan pemantauan di pusat saringan.

Sebelum hari melakukan ujian saringan yang dipantau, pengembara perlu diuji negatif terlebih dahulu.

Protokol kesihatan itu akan bermula pada 11.59 malam pada malam Isnin ini dan terpakai kepada pengembara yang tiba dari Malaysia melalui Tambak Johor.

Selain itu, Singapura juga melanjutkan sekatan perjalanan kepada lebih banyak negara yang mengalami lonjakan kes Omicron.

Bermula hari ini, semua pemegang pas jangka panjang dan jangka pendek dengan sejarah perjalanan ke Ghana, Malawi dan Nigeria dalam tempoh 14 hari terakhir tidak akan dibenarkan memasuki Singapura, atau transit melalui negara itu.

Bulgaria, Hungary, Iceland, Ireland, Luxembourg, Norway dan Poland akan diletakkan dalam Kategori III pada 6 Disember dengan pelancong dari negara ini perlu dikuarantin selama 10 hari.

Kementerian itu berkata, varian berkenaan sudah dikesan di sekurang-kurangnya 28 buah negara, khususnya mereka yang melakukan perjalanan ke Afrika Selatan.

"Pada masa ini tiada bukti menunjukkan simptom yang dikaitkan dengan varian Omicron berbeza atau lebih teruk daripada varian lain, atau vaksin dan rawatan semasa tidak akan berkesan terhadap Omicron.

"Lebih banyak data dan kajian lanjut diperlukan untuk mengesahkan perkara ini," kata kementerian itu.

Kementerian itu juga berkata, ujian pantas antigen masih berkesan sebagai kaedah pengesanan COVID-19, termasuk kes Omicron

"Pengesahan awal oleh pengeluar (kit ujian ini) menunjukkan ujian pantas antigen masih berkesan dalam mengesan kes COVID-19 bagi varian Omicron. Makmal sedang melakukan ujian biokimia lanjut untuk mengesahkannya," katanya. - Agensi

Pengembara yang tiba di Singapura menerusi VTL perlu mengambil saringan COVID-19 tujuh hari berturut-turut. - Foto AFP
Pengembara yang tiba di Singapura menerusi VTL perlu mengambil saringan COVID-19 tujuh hari berturut-turut. - Foto AFP

Berita Harian X