Isnin, 18 Oktober 2021 | 8:05pm
Jet pejuang Tentera Udara Republik Singapura F16C/Ds and F-15SG membuat formasi Delta ketika penerbangan lintas hormat ulang tahun ke-50 FPDA, membabitkan Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura, dan United Kingdom, hari ini. - Foto AFP
Jet pejuang Tentera Udara Republik Singapura F16C/Ds and F-15SG membuat formasi Delta ketika penerbangan lintas hormat ulang tahun ke-50 FPDA, membabitkan Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura, dan United Kingdom, hari ini. - Foto AFP

Malaysia hantar Sukhoi

SINGAPURA: Dua pesawat tempur Sukhoi SU-30MKMs dan KD Lekiu milik Malaysia, turut serta dalam acara penerbangan lintas hormat dan pameran kapal tentera laut di Singapura hari ini, sempena sambutan ulang tahun ke-50 Anggota Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Sambutan itu diadakan di Marina South di sini, selepas berakhirnya sesi 'Exercise Bersama Gold 2021' dengan menampilkan aset dari empat negara anggota FPDA iaitu Australia, Malaysia, New Zealand dan Singapura.

Penerbangan lintas hormat dilakukan dalam tiga profil dikenali formasi delta yang diketuai Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan gabungan FPDA membabitkan pesawat tempur dan peronda maritim serta helikopter dari lima negara berkenaan.

Kedua-dua acara itu disiarkan secara langsung di platform media sosial Kementerian Pertahanan Singapura tengah hari tadi.

Hadir sama ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri Pertahanan FPDA ke-11 (FDMM) dan sambutan Ulang Tahun FPDA ke-50 pada 21 Oktober.

Sementara itu, dalam catatan Facebooknya, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong melahirkan rasa gembira kerana FPDA yang ditubuhkan pada 1971 masih aktif dan relevan hari ini.

"Kerjasama ini memupuk keamanan dan keselamatan di rantau ini, dan Singapura terus menyokongnya di dunia yang sangat berbeza," katanya.

Menurutnya, pada 50 tahun dahulu Asia Tenggara tidak begitu stabil, dan Perang Vietnam masih berlangsung.

Di bawah Peraturan itu, kelima-lima negara harus segera berunding satu sama lain, sekiranya berlaku ancaman bersenjata atau serangan ke atas Malaysia atau Singapura.

FPDA perkongsian ketenteraan tertua kedua di dunia (selepas NATO), menurut catatannya. – BERNAMA

Helikopter Chinook milik Tentera Udara Republik Singapura terbang di atas KD Lekiu, hari ini. - Foto AFP
Helikopter Chinook milik Tentera Udara Republik Singapura terbang di atas KD Lekiu, hari ini. - Foto AFP

Berita Harian X