Khamis, 16 September 2021 | 3:23pm
Gambar menunjukkan papan tanda imbasan bagi mengesan kontak di hab kewangan Raffles Place ketika pekerja pejabat berehat makan tengah hari di Singapura. - Foto AFP
Gambar menunjukkan papan tanda imbasan bagi mengesan kontak di hab kewangan Raffles Place ketika pekerja pejabat berehat makan tengah hari di Singapura. - Foto AFP

755 kes baru COVID-19 dalam masyarakat di Singapura

SINGAPURA: Sebanyak 755 kes baru dalam masyarakat dilaporkan kelmarin direpublik ini, menjadikannya jumlah tertinggi dalam sehari sejak lebih setahun.

Kementerian Kesihatan (MOH), dalam kenyataan hariannya kelmarin, melaporkan terdapat juga 77 kes dalam kalangan penduduk asrama dan lima yang diimport, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 837 kes baru coronavirus.

Kelompok baru dengan 10 kes juga dikenal pasti di rumah jagaan warga emas All Saints Home di Jurong East, yang mana sembilan adalah penghuni dan seorang lagi kakitangan rumah penjagaan itu.

Sehingga kelmarin, Singapura mencatat 73,131 kes COVID-19 dan dalam masa seminggu ini, jumlah kes harian yang dicatat kelmarin melonjak lebih dua kali ganda berbanding jumlah keseluruhan pada Selasa lalu iaitu 332 kes.

Buat masa ini, MOH berkata terdapat 809 pesakit COVID-19 yang masih mendapatkan rawatan di hospital, termasuk 75 kes yang memerlukan bantuan oksigen dan sembilan dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Dalam kalangan kes yang memerlukan bantuan oksigen, 59 adalah warga emas berumur 60 tahun ke atas. - AGENSI

Berita Harian X