Sabtu, 24 Julai 2021 | 7:37pm
Penduduk di bandar Las Pinas, Metro Manila di Filipina berpindah selepas paras banjir semakin tinggi. - Foto EPA
Penduduk di bandar Las Pinas, Metro Manila di Filipina berpindah selepas paras banjir semakin tinggi. - Foto EPA

Ribuan penduduk Filipina dipindahkan akibat banjir

MANILA: Pihak berkuasa Filipina memindahkan ribuan penduduk di Manila hari ini, selepas banjir melanda bandar itu selain wilayah berhampiran ekoran hujan lebat dan ribut petir.

Menurut Agensi Bencana Nasional, 14,023 mangsa, kebanyakannya dari kawasan pinggir bandar Manila yang mudah dinaiki air, dibawa ke pusat pemindahan.

Juruakap Presiden Manila, Harry Roque, dalam satu kenyataan berkata penduduk diminta mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada.

"Kami meminta penduduk untuk turut bekerjasama dengan pihak berkuasa," katanya.

Cuaca teruk melanda beberapa negara lain sepanjang minggu ini, menyebabkan banjir di China, India, Eropah Barat dan Amerika Utara, sekali gus menimbulkan ketakutan terhadap kesan perubahan iklim yang semakin ketara.

Menurut ahli meteorologi, Filipina yang mempunyai lebih 7,600 pulau, dilihat berdepan dengan kira-kira 20 ribut tropika setahun tetapi suhu Lautan Pasifik yang lebih panas menjadikan ribut menjadi lebih kuat, sekali gus membawa hujan lebat.

Di beberapa wilayah sekitar ibu negara Filipina, yang menjadi kediaman kira-kira 13 juta orang, jalan dibanjiri hingga ke paras pinggang manakala kebanyakan jalan tidak dapat dilalui kenderaan.

Filipina juga sedang bergelut menangani COVID-19 dengan memperketatkan lagi sekatan sedia ada untuk membendung penularan varian Delta.

Roque berkata, kementerian awam kini sedang bertungkus lumus membersihkan sampah sarap dan kesan akibat tanah runtuh yang menghalang jalan raya. - AGENSI

Berita Harian X