X
Jumaat, 23 Julai 2021 | 7:59pm
Orang ramai menunggu giliran menerima suntikan vaksin COVID-19 Moderna di sebuh kompleks sukan di Quezon City, Metro Manila, Filipina. - Foto EPA
Orang ramai menunggu giliran menerima suntikan vaksin COVID-19 Moderna di sebuh kompleks sukan di Quezon City, Metro Manila, Filipina. - Foto EPA

Filipina sekat perjalanan dari Malaysia, Thailand

MANILA: Filipina akan melarang pelancong yang datang dari Malaysia dan Thailand serta mengetatkan sekatan di wilayah Manila, dalam usaha mencegah penyebaran varian Delta.

Jurucakap Presiden Filipina, Harry Roque, hari ini berkata sekatan perjalanan itu akan berkuat kuasa mulai Ahad ini dan berlanjutan hingga hujung bulan bagi membendung varian yang lebih pantas menular itu.

"Tindakan ini dilakukan untuk mencegah penyebaran lebih cepat dan mencegah varian menular dalam kalangan masyarakat di Filipina," katanya.

Filipina sebelum ini melarang pelancong dari lapan negara termasuk Indonesia dan India, bagi menghalang serta mencegah penularan varian Delta secara lebih meluas di wilayahnya.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, meletakkan ibu kotanya, satu daripada 16 kota yang menempatkan lebih dari 13 juta orang serta empat wilayahnya, di bawah kawalan COVID-19 lebih ketat hingga akhir Julai.

Sukan dan tempat persidangan, pelancongan dalaman dan gimnasium tidak dibenarkan beroperasi, sementara kapasiti operasi tempat makan termasuk di ruang terbuka dihadkan.

Di samping itu, kanak-kanak berumur antara lima hingga 17 tahun tidak dibenarkan meninggalkan kediaman mereka.

Filipina mencatatkan 47 kes varian Delta, lapan daripadanya aktif dan tiga kematian direkodkan setakat ini.

Negara yang mempunyai jumlah kes dan korban COVID-19 kedua tertinggi di Asia Tenggara selepas Indonesia itu mencatatkan lebih 1.53 juta jangkitan dan hampir 27,000 kematian setakat ini. - AGENSI

Berita Harian X