Isnin, 19 Julai 2021 | 7:22am
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Singapura lapor 88 kes tempatan baru COVID-19

SINGAPURA: Singapura melaporkan 88 kes jangkitan tempatan COVID-19 setakat tengah hari semalam, dengan 67 jangkitan berkait dengan kelompok di pusat KTV dan Pelabuhan Perikanan Jurong.

Dalam kalangan kes baru itu, 42 dikaitkan dengan kelompok di Pelabuhan Perikanan Jurong selain 25 kes dikaitkan dengan kelompok KTV, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini terbaru di laman sesawangnya.

Sejumlah 30 kes dikaitkan dengan jangkitan sebelum ini dan sudah dikuarantin, dengan 48 lagi dikesan melalui ujian pengawasan manakala 10 kes lagi tidak berhubung kait, tambah MOH.

Tambah MOH, empat daripada kes itu adalah warga emas berusia lebih 70 tahun yang belum divaksinasi dan menghadapi risiko sakit kronik.

Terdapat juga empat kes import yang dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan setibanya mereka di sini.

Salah satu daripada jangkitan itu dikesan sebaik tiba di sini sementara tiga daripada mereka jatuh sakit semasa menjalani tempoh SHN atau pengasingan, menurut MOH.

Secara keseluruhan, Singapura melaporkan 92 kes baru COVID-19 semalam, jumlah harian tertinggi sejak 28 Ogos tahun lalu apabila 94 kes dilaporkan.

Terdapat kes tambahan COVID-19 dilaporkan dalam kalangan peniaga ikan yang bekerja di Pasar dan Pusat Makanan Haig Road, Jurong Central Plaza dan Shunfu Mart.

MOH juga mengenal pasti kemungkinan penularan berterusan di kelab KTV dan semua pengunjung ke premis yang terjejas dinasihatkan memantau kesihatan mereka dengan teliti.

Mereka juga digesa mengurangkan interaksi sosial selama 14 hari dari tarikh lawatan atau interaksi mereka serta digalakkan berjumpa doktor dengan segera sekiranya tidak sihat.

MOH menyatakan jumlah keseluruhan kes baru dalam masyarakat meningkat daripada 17 kes pada minggu sebelumnya kepada 325 kes pada minggu lalu.

"Kita mungkin akan melihat peningkatan kes dalam beberapa hari mendatang sedang kami meningkatkan usaha untuk mengesan kes jangkitan bagi membendungnya daripada menular dalam masyarakat," kata MOH.

Jumlah kes yang tidak berhubung kait dalam masyarakat juga meningkat daripada lapan kes pada minggu sebelumnya kepada 31 kes pada minggu lalu.

MOH menyatakan buat masa ini terdapat 243 pesakit yang masih dirawat di hospital, dengan kebanyakannya dalam keadaan sihat dan di bawah penelitian.

Pada masa ini terdapat 12 kes serius yang memerlukan bantuan oksigen tambahan, dan satu berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi. Tidak seorang pun dalam kalangan 13 kes ini diberikan vaksin sepenuhnya, kata MOH.

"Ada bukti berterusan bahawa vaksinasi membantu mencegah penyakit serius apabila seseorang dijangkiti.

"Sepanjang 28 hari lalu, 17 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen tambahan, dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia.

"Ini termasuk 11 daripadanya yang tidak divaksinasi dan enam baru menerima satu suntikan vaksin," tambah MOH.

Setakat semalam, Singapura melaporkan 63,069 kes COVID-19 secara keseluruhan. - AGENSI

Berita Harian X