Selasa, 13 Julai 2021 | 7:30pm
Sebahagian Thailand termasuk ibunegara, Bangkok sedang dalam perintah sekatan ketat ekoran negara itu sedang berperang dengan peningkatan kes COVID-19. - Foto AFP
Sebahagian Thailand termasuk ibunegara, Bangkok sedang dalam perintah sekatan ketat ekoran negara itu sedang berperang dengan peningkatan kes COVID-19. - Foto AFP

Thailand pertahan langkah campur dua vaksin berbeza

BANGKOK: Thailand mempertahankan langkah diambil negara itu yang mencampur suntikan dua jenis vaksin COVID-19 berbeza untuk memerangi peningkatan mendadak kes jangkitan pandemik.

Ia selepas saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran tindakan itu mencetuskan trend berbahaya kerana tidak disokong bukti.

Negara itu ketika ini sedang bergelut untuk mengekang penularan pandemik yang dicetuskan varian Delta, apabila kes positif dan kematian naik mendadak sehingga menggoyahkan sistem kesihatan.

Menurut pihak berkuasa, mereka akan mencampur suntikan dos pertama vaksin Sinovac buatan China dan vaksin keluaran AstraZeneca sebagai dos kedua untuk mempercepat kesan dalam tempoh enam minggu berbanding 12 minggu.

Ketua ahli virologi Thailand, Yong Poovorawan, berkata ia mungkin dilakukan dengan menggabungkan vaksin virus tidak aktif iaitu Sinovac dengan vaksin vektor viral seperti AstraZeneca.

"Kita tidak boleh tunggu 12 minggu (untuk mempercepat kesan) ketika pandemik di mana penyakit ini menular cepat.

"Tetapi pada masa hadapan, jika ada vaksin lebih baik, ditambahbaik... kita akan mencari jalan lebih baik untuk uruskan situasi," katanya.

Komen beliau menyusul sehari selepas Ketua Saintis WHO, Soumya Swaminathan menggelarkan strategi itu sebagai satu trend yang berbahaya.

"Kita tidak kekurangan data, bukti mengenai campur dan padankan," katanya.

Situasi COVID-19 di Thailand menyaksikan lebih 353,700 kes positif dan 2,847 kematian direkodkan.

Kebanyakannya dikesan di daerah yang mempunyai hiburan malam di Bangkok sejak gelombang meletus April lalu.

Selain menyuaipadan Sinovac-AstraZeneca, Thailand juga mungkin akan menggunakan campuran suntikan vaksin Pfizer-BioNTech. - AFP

Berita Harian X