X
Isnin, 12 Julai 2021 | 9:09pm
Seorang wanita dilihat berjalan di kawasan pusat perniagaan utama di Bangkok yang kini lengang akibat ancaman COVID-19 sehingga memaksa Thailand memperketatkan langkah kawalan. - Foto EPA
Seorang wanita dilihat berjalan di kawasan pusat perniagaan utama di Bangkok yang kini lengang akibat ancaman COVID-19 sehingga memaksa Thailand memperketatkan langkah kawalan. - Foto EPA

Thailand cuba campuran vaksin bagi bendung COVID-19

BANGKOK: Thailand menukar dasar pemberian vaksinnya dengan menggunakan campuran vaksin Sinovac dan AstraZeneca dalam usaha meningkatkan perlindungan komuniti.

Keputusan itu di ambil selepas ratusan pekerja kesihatan dijangkiti COVID-19 walaupun sudah menerima vaksin lengkap dua dos Sinovac.

Orang ramai kini diberikan suntikan vaksin Sinovac manakala mereka yang baru mendapat satu dos suntikan akan diberikan vaksin AstraZeneca bagi dos kedua.

Pekerja kesihatan yang sudah diberi vaksin lengkap Sinovac juga akan mendapat dos ketiga sebagai dos penggalak dari vaksin yang berbeza.

Dos ketiga vaksin itu mungkin menggunakan AstraZeneca atau vaksin mRNA keluaran Pfizer/BioNTech.

Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Nasional negara itu berkata, dos ketiga dijangka diberikan tiga hingga empat minggu selepas suntikan Sinovac kedua.

AstraZeneca kini adalah satu-satunya vaksin alternatif yang ada di negara itu manakala Pfizer/BioNTech, vaksin sumbangan Amerika Syarikat (AS), dijangka tiba tidak lama lagi.

Sinovac keluaran China adalah vaksin pertama digunakan di Thailand yang diberikan kepada pekerja kesihatan sejak Februari lalu.

Semalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan 618 daripada 677,000 kakitangan kesihatan yang sudah lengkap dua dos vaksin Sinovac dijangkiti semula COVID-19 antara April dan Julai.

Seorang jururawat meninggal dunia dan seorang kakitangan perubatan kini dalam keadaan kritikal.

Kajian diterbitkan New England Journal of Medicine membabitkan kes dari Chile mendapati Sinovac mempunyai kadar keberkesanan 65.9 peratus terhadap COVID-19, 87.5 peratus berkesan mencegah kemasukan semula ke hospital dan 86.3 peratus berkesan mengurangkan risiko kematian.

Thailand ketika ini mengalami lonjakan jangkitan baru, mencatatkan kes tertinggi dengan 9,418 kes semalam termasuk 91 kematian, yang juga angka terbesar dalam rekod negara itu.

Kebimbangan mengenai keberkesanan vaksin dari China mula dirasakan selepas meningkatnya kes jangkitan semula yang mendorong peningkatan permintaan terhadap suntikan vaksin lain ditawarkan beberapa klinik swasta di negara itu.

Minggu lalu, vaksin Modena keluaran AS yang dijual sebuah klinik di laman beli-belah dalam talian, habis dijual dalam beberapa minit saja.

Hospital Phyathai menawarkan 1,800 suntikan vaksin Moderna untuk orang ramai pada harga 1,650 baht (RM292) bagi setiap suntikan.

Secara keseluruhan, Thailand mencatatkan lebih 330,00 kes jangkitan COVID-19 dan 2,711 kematian sejak awal wabak itu dikesan pada 2020.

Kebanyakan negara di Asia Tenggara kini berdepan kebimbangan lonjakan kes yang disebabkan oleh penyebaran varian Delta yang pertama kali ditemui di India. - AGENSI

Berita Harian X