Jumaat, 18 Jun 2021 | 2:30pm
Pekerja kesihatan mengumpul sampel calitan sebelum membenarkan pengunjung memasuki sebuah pusat beli belah di Surabaya, Indonesia. - Foto AFP
Pekerja kesihatan mengumpul sampel calitan sebelum membenarkan pengunjung memasuki sebuah pusat beli belah di Surabaya, Indonesia. - Foto AFP

Kes baharu COVID-19 di Indonesia kembali meningkat

JAKARTA: Kes positif baharu COVID-19 di Indonesia kembali melonjak selepas mencatatkan lebih 12,000 kes harian semalam, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 1,950,276 kes.

Menurut data di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia semalam, 12,624 kes baharu direkodkan manakala 277 kematian berlaku dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan 53,753 kematian.

Jumlah kes positif harian di Indonesia pernah dicatatkan bawah 4,000 kes sebelum sambutan Aidilfitri.

Bagi tempoh 12 tengah hari kelmarin sehingga 12 tengah hari semalam, jumlah mereka yang dinyatakan sembuh adalah 7,350 orang, menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh 1,771,220 orang.

Bagi program vaksinasi, setakat hari ini, lebih 21.9 juta orang menerima dos pertama vaksin manakala lebih 11.9 juta telah menerima dos kedua.

Peningkatan kes baharu COVID-19 dikaitkan dengan kegiatan 'mudik' ataupun balik kampung semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini, dan penemuan varian baharu, Delta B1617.2 dan Beta B1351, yang kadar penularan lebih cepat berbanding varian lain.

Kehadiran meluas varian itu di Indonesia itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin.

Beliau mengatakan varian itu dikesan dalam sampel yang diambil di Jakarta; Kudus di Jawa Tengah, dan Bangkalan di Jawa Timur, lapor The Jakarta Post semalam.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Siti Nadia Tarmizi, mengatakan pihak berkuasa telah menemukan, melalui ujian genom yang dilakukan di 12 provinsi, 145 sampel mengandungi salah satu daripada tiga varian Covid-19.

Daripada 145 sampel itu, 104 mengandungi varian Delta, 36 mengandungi varian Alpha, dan lima mengandungi varian Beta.

Jangkitan COVID-19 di negara keempat paling padat populasi di dunia itu merekodkan kenaikan dalam beberapa minggu kebelakangan, terutama selepas cuti Lebaran lalu, yang menyaksikan jutaan rakyatnya membelakangkan perintah sekatan pergerakan.

Namun, Siti Nadia mengingatkan bahawa vaksin COVID-19 masih berkesan dalam memberi perlindungan.

Beliau memberi contoh vaksin Sinovac, yang digunakan untuk pekerja kesihatan, terbukti memberi perlindungan daripada kematian, yang mencapai 98 peratus.

Selain itu, kata Siti Nadia, vaksin AstraZeneca berkesan dalam memberi perlindungan daripada penularan varian Delta dan virus Alpha, menurut penyelidikan Kesihatan Awam England (PHE).

"Jadi, sekarang WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) mengesyorkan agar kita mempercepat vaksinasi, keberkesanan vaksin ini sebenarnya sudah memiliki pertahanan untuk melawan virus," katanya.

Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo, berkata pihaknya telah meningkatkan kewaspadaan terhadap varian Delta yang tersebar luas di wilayahnya, terutama di wilayah Kudus.

"Kemungkinan besar jumlah yang dijangkiti varian di Kudus lebih banyak daripada yang kita temui sebelum ini. Dan ada kemungkinan varian Delta dapat memasuki kawasan lain," katanya.

Beliau berkata sekurang-kurangnya 62 penduduk Kudus positif terdedah kepada varian Delta. - AGENSI.

Berita Harian X