Selasa, 1 Jun 2021 | 12:25pm
Dua penduduk Hanoi melintasi poster memupuk kesedaran memerangi COVID-19 di Vietnam, yang tertera mesej ‘Mencegah dan memerangi COVID-19 bermakna melindungi diri, keluarga dan masyarakat’. - Foto EPA
Dua penduduk Hanoi melintasi poster memupuk kesedaran memerangi COVID-19 di Vietnam, yang tertera mesej ‘Mencegah dan memerangi COVID-19 bermakna melindungi diri, keluarga dan masyarakat’. - Foto EPA

Jangkitan global lebih 171 juta, korban 3.56 juta

JAKARTA: Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia ketika ini melebihi 171 juta kes termasuk lebih 3.56 juta kematian, dengan hampir 500,000 jangkitan baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 34 juta kes jangkitan termasuk hampir 610,000 kematian.

Ini diikuti India dengan lebih 28 juta kes dan Brazil dengan lebih 16.5 juta kes selain Perancis, Turki serta Russia melebihi lima juta kes manakala United Kingdom (UK) dan Itali pula mencatat lebih empat juta kes.

Argentina, Jerman, Sepanyol dan Colombia pula melebihi tiga juta kes. Poland, Iran, Mexico dan Ukraine mencatat lebih dua juta kes.

Peru, Indonesia, Belanda, Afrika Selatan dan Kanada antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif.

Negara dalam lingkungan 300,000 hingga 600,000 kes termasuk Malaysia, Slovakia dan Panama.

Negara lain merekodkan angka positif di antara 100,000 dan 300,000 kes.

Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia kini melebihi 3.56 juta kes.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 594,000 kes.

Ini diikuti Brazil dengan lebih 461,000 kes; India lebih 329,000 kes; Mexico lebih 223,000 kes.

Sementara United Kingdom, Itali, Rusia dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 50,000 kes termasuk Jerman dan Sepanyol.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan melebihi 50,000 kes korban.

Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 20,000 kes diikuti Malaysia dengan 6,824 kematian manakala Singapura mencatat 33 kematian setakat ini. - AGENSI

Berita Harian X