Sabtu, 22 Mei 2021 | 2:33pm
Orang ramai dilihat berjalan di balai berlepas Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, yang kini menjadi lokasi kelompok kluster COVID-19 terbesar di Singapura. - Foto EPA
Orang ramai dilihat berjalan di balai berlepas Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, yang kini menjadi lokasi kelompok kluster COVID-19 terbesar di Singapura. - Foto EPA

10 lagi pekerja Lapangan Terbang Changi positif COVID-19

SINGAPURA: Ujian calitan COVID-19 dalam kalangan kakitangan Lapangan Terbang Changi mendapati 10 lagi pekerja disahkan positif coronavirus itu.

Ini selepas hampir 19,000 pekerja di sana menjalani ujian dalam satu operasi khas, menyusuli ujian awal yang menemui kelompok baharu kes COVID-19 di lapangan terbang terbabit.

Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG), dalam kenyataan bersama semalam, berkata ini bermakna 43 pekerja lapangan terbang diuji positif COVID-19 setakat ini.

"Baki 33 pekerja yang dijangkiti COVID-19 dikesan menerusi kaedah lain seperti semasa menjalani kuarantin atau ujian yang dijadualkan.

"Hasil ujian bagi kumpulan pertama pekerja lapangan terbang yang diuji positif COVID-19 menunjukkan mereka dijangkiti varian B1617, yang memungkinkan jangkitan mereka berasal daripada sumber yang sama," katanya.

CAAS dan CAG mengumumkan angka terkini itu ketika jumlah kes yang dikaitkan dengan kelompok di lapangan terbang itu bertambah, mencecah 100 kes sehingga kelmarin.

Menyentuh langkah tambahan yang diambil di lapangan terbang, CAG dan CAAS berkata sejak kelmarin, pekerja di Terminal 3 Basement 2 yang diuji negatif COVID-19 dalam ujian pertama, dijadual menjalani ujian susulan.

Selain itu, penumpang dari tempat yang disifatkan sebagai berisiko tinggi kini perlu menjalani Ujian Antigen Pantas (ART) setibanya di sini, selain ujian reaksi rantai polimerase (PCR) yang ditetapkan.

Mulai esok, pekerja di lapangan terbang dalam kategori jawatan dianggap lebih berisiko juga akan dikenakan ujian tambahan ART, antara ujian rutin yang dijadualkan dalam tempoh tujuh hari, kata CAG dan CAAS.

Semalam, Kementerian Kesihatan (MOH) melaporkan 30 kes COVID-19 baru dalam masyarakat, termasuk lapan yang tiada kaitan.

Terdapat 10 kes import, menjadikan keseluruhan 40 kes baru, sekali gus meningkatkan jumlah jangkitan di republik itu kepada 61,770 kes. - AGENSI

Berita Harian X