Selasa, 18 Mei 2021 | 6:21pm
Singapura mengesahkan seorang lagi warga Malaysia dalam kluster COVID-19 ‘Dealer Marina Bay Sands Casino’ - Foto AGENSI
Singapura mengesahkan seorang lagi warga Malaysia dalam kluster COVID-19 ‘Dealer Marina Bay Sands Casino’ - Foto AGENSI

Lelaki Malaysia positif COVID-19 varian baharu

SINGAPURA: Seorang lelaki Malaysia berusia 34 tahun menjadi kes COVID-19 varian baharu dikaitkan dengan kluster 'Dealer Marina Bay Sands Casino'.

Mangsa disahkan positif untuk tahap awal varian B1617, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu.

Berdasarkan data penuh yang dikeluarkan lewat malam tadi, MOH memaklumkan lelaki berkenaan kini menganggur dan adalah kontak serumah dengan kes pertama dalam kluster itu.

Mangsa berkenaan juga adalah lelaki Malaysia berusia 36 tahun yang bekerja di Marina Bay Sands Casino dan disahkan dijangkiti COVID-19 kelmarin.

"Beliau mengalami demam dan batuk pada 12 Mei, mendapatkan rawatan perubatan di klinik Kesihatan Awam pada 15 Mei, dan didapati positif saringan 'Antigen Rapid Test' (ART).

"Beliau segera dikuarantin dan menjalani ujian 'Polymerase Chain Reaction' pada hari yang sama dan keputusan ujian mengesahkan beliau positif COVID-19 pada 16 Mei.

"Hasil ujian serologinya belum diperoleh, namun beliau didapati positif tahap awal untuk varian B1617 dan sedang menunggu ujian pengesahan lebih lanjut," kata MOH.

Berikutan kes baharu itu, kluster 'Dealer Marina Bay Sands Casino' kini mencatatkan tiga kes dengan kes lain membabitkan seorang lelaki Singapura berusia 35 tahun yang juga bekerja di Marina Bay Sands Casino.

Republik itu, yang memperketatkan langkah pengurusan keselamatan dalam komuniti bermula kelmarin, setakat ini mencatat 61,613 kes keseluruhan.

Ia mempunyai 16 kluster terbuka setakat ini, yang terbesar berkait dengan kes Terminal 3 Lapangan Terbang Changi yang mempunyai 78 kes disahkan. - BERNAMA

Berita Harian X