Selasa, 4 Mei 2021 | 7:30pm
Umat Islam sedang membeli belah sebagai persiapan menyambut Aidilfitri di Tanah Abang di Jakarta, Indonesia. - Foto EPA
Umat Islam sedang membeli belah sebagai persiapan menyambut Aidilfitri di Tanah Abang di Jakarta, Indonesia. - Foto EPA

Indonesia bimbang wujud kluster baju raya

MAKASSAR: Pengunjung yang membanjiri beberapa pusat beli-belah di sekitar Makassar bagi mendapatkan keperluan Aidilfitri dikhuatiri boleh mencetuskan kluster baharu COVID-19.

Ini berikutan pihak pengurusan di kebanyakan pusat beli-belah di sini mengabaikan protokol pencegahan COVID-19, sekali gus menyebabkan pengunjung juga melakukan tindakan sama terutama tidak memakai pelitup muka.

Ketua Pasukan Pencegahan COVID-19 Makassar, Iman Hud, berkata pihaknya sudah mengeluarkan surat amaran kepada sejumlah pusat beli-belah yang mengingkari protokol coronavirus.

"Jangan sia-siakan usaha kerajaan dan semua pihak yang bertungkus-lumus kawal jangkitan COVID-19 di negara ini.

"Jangan disebabkan teruja untuk membeli keperluan Aidilfitri, semua protokol COVID-19 dilupakan dan akhirnya muncul kluster baharu," katanya, yang dipetik CNN Indonesia.

Selain itu, Iman juga menegur pengurusan pusat beli-belah yang dilihat hanya mementingkan keuntungan berbanding keselamatan kesihatan sejagat.

Jelas beliau, sepatutnya pihak pengurusan pusat beli-belah lebih jelas mengenai protokol COVID-19 bagi mengelak penularan jangkitan.

Sementara itu, kapasiti orang ramai keluar membeli keperluan Aidilfitri di pusat beli-belah dilaporkan meningkat di 29 daripada 34 wilayah di seluruh negara. - AGENSI

Berita Harian X