Rabu, 21 April 2021 | 9:29pm
Pengerusi Majlis Perdamaian dan Pemulihan Asia, Prof Dr Sihasak Phuangketkeow. - Foto AFP
Pengerusi Majlis Perdamaian dan Pemulihan Asia, Prof Dr Sihasak Phuangketkeow. - Foto AFP

Krisis Myanmar: Pemimpin ASEAN mesti senada, bersatu hati

BANGKOK: Semua pemimpin ASEAN perlu siap sedia dan senada untuk meyakinkan Jeneral Min Aung Hlaing dalam Mesyuarat Khas Pemimpin ASEAN yang akan bersidang di Jakarta, Indonesia, pada Sabtu.

Mesyuarat khas itu diadakan untuk berbincang dan mencari penyelesaian komprehensif berhubung situasi di Myanmar yang semakin merosot serta kesannya kepada rantau ini dan selainnya.

Pengerusi Majlis Perdamaian dan Pemulihan Asia, Prof Dr Sihasak Phuangketkeow, berkata ASEAN harus terus menekan dan berusaha membantu mengatasi konflik di Myanmar selain membantu rakyat di negara ini.

Dalam komentar bertajuk "Myanmar crisis: A Challenge to the ASEAN way" diterbitkan Thai PBS World, beliau berkata pemimpin ASEAN mesti bersatu dan sebulat suara menyuarakan pandangan bahawa peristiwa tragis di Myanmar amat membimbangkan negara anggota.

"Pemimpin ASEAN mesti tegas dalam menangani isu utama, iaitu menghentikan segera keganasan, pembebasan Aung San Suu Kyi dan semua tahanan politik serta mengulangi gesaan supaya Majlis Pentadbiran Negara memulakan dialog yang konstruktif dengan semua pihak yang berkenaan di Myanmar," katanya.

Menurutnya, masih terdapat perbezaan pandangan mengenai isu Myanmar dalam kalangan anggota ASEAN, negara seperti Indonesia, Singapura, Malaysia dan Filipina secara terbuka mengkritik rejim tentera, manakala pendirian anggota lain termasuk Thailand dilihat kurang jelas dan mengambil sikap pendekatan tunggu dan lihat.

Mesyuarat khas itu mencatat sejarah kerana sepanjang 54 tahun penubuhannya, ini julung kali ASEAN bertemu di peringkat tertinggi untuk menangani masalah dalam kalangan negara anggota .

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha, mengesahkan tidak akan hadir sebaliknya diwakili Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar, Don Pramudwinai.

Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar, Sihasak berkata ASEAN harus kreatif dalam menggunakan pendekatan pelbagai hala, menambah saluran komunikasi rasmi sedia ada dan dilengkapi dengan diplomasi tidak formal atau di sebalik tabir yang membabitkan individu atau sektor swasta untuk berfungsi sebagai saluran bagi membina kepercayaan serta keyakinan dalam kalangan pelbagai pihak di Myanmar.

"Krisis di Myanmar adalah cabaran dan peluang untuk merangka dan menghidupkan semula cara ASEAN; akhirnya, ini adalah mengenai

"Kami, Rakyat ..." seperti yang termaktub dalam Piagam ASEAN. Dan dengan semangat itulah kita tidak boleh mengecewakan rakyat Myanmar," katanya.

Andai ASEAN gagal menangani krisis Myanmar, Sihasak berkata usaha membangun masyarakat, integrasi ekonomi, hubungan kerjasama dan pemusatan ASEAN yang sering disebut-sebut pasti akan menemui kegagalan.

"Apatah lagi, jika ASEAN menunjukkan ia tidak mampu mengurus urusan wilayahnya sendiri, kes itu akan mendapat campur tangan pihak di luar dari rantau ini yang mempunyai agenda dan kepentingan mereka sendiri.

"ASEAN kemungkinan akan menyaksikan Myanmar menjadi arena perebutan kuasa," katanya.

Beliau berkata, ASEAN perlu menyusun strategi diplomatik yang jelas, tersusun dan kreatif.

Myanmar bergolak sejak Panglima Angkatan Tentera, Min Aung Hlaing pada 1 Februari menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi, menyaksikan 700 penunjuk perasaan terkorban sejak protes antikudeta tercetus. - BERNAMA

Berita Harian X