Rabu, 21 April 2021 | 9:18pm
Kapal selam Tentera Laut Indonesia, KRI Nanggala-402 dipercayai tidak dapat dikesan sejurus selepas diberi kebenaran untuk menyelam. - Foto EPA
Kapal selam Tentera Laut Indonesia, KRI Nanggala-402 dipercayai tidak dapat dikesan sejurus selepas diberi kebenaran untuk menyelam. - Foto EPA

Tentera Indonesia kerah operasi pencarian kapal selam, 53 anak kapal

JAKARTA: Indonesia meminta bantuan Singapura dan Australia yang memiliki kapal penyelamat kapal selam untuk membantu mengesan KRI Nanggala-402 yang hilang sejak pagi ini.

Tentera Indonesia sedang mencari kapal selam dengan 53 anak kapal di dalamnya selepas terputus hubungan ketika latihan tentera laut di perairan Bali.

Panglima Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto, berkata kapal berkenaan dipercayai tidak dapat dikesan sejurus selepas diberi kebenaran untuk menyelam.

"Selepas diberikan 'clearance' kami tidak dapat menghubungi mereka (KRI Nanggala-402)," katanya.

Menurutnya, beliau meletakkan harapan untuk menjumpai semula kapal selam berkenaan dan telah mengerahkan pelbagai aset ketenteraan ke lokasi kejadian.

Terdapat spekulasi yang mengatakan kapal berkenaan berada di kedalaman 700 meter.

KRI Nanggala-402 yang membawa 53 kru dipercayai terputus hubungan ketika sedang menjalani latihan torpedo di laut Bali. Latihan berkenaan sepatutnya dihadiri Panglima Hadi dan Laksamana Yudho Margono esok.

Malah, sekumpulan wartawan juga dijemput hadir menyaksikan latihan berkenaan pagi ini.

Kompas melaporkan, berdasarkan pemerhatian menggunakan aplikasi Marine Radar, sekitar jam 10 pagi hingga 12 tengah hari tadi, terdapat dua kapal tentera dikesan di utara Bali.

Kedua-duanya dilihat berada pada posisi bersebelahan namun pada jam 3.30 petang, satu daripada kapal berkenaan mendekati pesisir Bali Utara.

Kapal selam KRI Nanggala 402 seberat 1,300 tan itu dibina pada 1978, menurut laman web kerajaan.

Indonesia, yang memperkukuhkan aset ketenteraan lautnya sejak beberapa tahun terakhir ini, memiliki lima kapal selam buatan Jerman dan Korea Selatan. - AGENSI

Berita Harian X