Rabu, 15 Julai 2020 | 6:09pm
Gambar fail: Jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di Singapura kini ialah 46,878 kes. Foto AFP
Gambar fail: Jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di Singapura kini ialah 46,878 kes. Foto AFP

COVID-19: Singapura catat 249 kes baharu, 16 dalam komuniti

SINGAPURA: Singapura melaporkan sejumlah 249 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu dengan majoriti masih terdiri daripada pekerja asing yang tinggal di asrama.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH) pada tengah hari ini, terdapat hanya 16 kes dalam komuniti.

Kementerian itu juga menyatakan bahawa terdapat lima kes import membabitkan mereka yang diletak di bawah Notis Duduk Di Rumah sejurus tiba di Singapura.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu ialah 46,878 kes.

Semalam, MOH melaporkan satu kesilapan dalam ujian makmal yang menyebabkan satu kes COVID-19 dilaporkan sebagai positif sedangkan hasil sebenarnya adalah negatif.

Ia membabitkan Kes 45,655 iaitu seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Jurong West yang tidak bergejala dan telah dilaporkan sebagai kes disahkan oleh kementerian itu pada 10 Julai 2020.

Menerusi data penuh yang dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasikan 618 kes sebagai kes import; 2,069 sebagai kes komuniti dan 43,942 sebagai kes membabitkan penghuni asrama.

Kenyataan itu menyebut sejumlah 3,704 pesakit yang bergejala atau sihat secara klinikal namun masih diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Setakat semalam, sejumlah 27 orang dilaporkan meninggal dunia susulan komplikasi akibat jangkitan COVID-19.

Satu kluster baharu telah dikenal pasti semalam di sebuah asrama di 96 Kaki Bukit Industrial Terrace.

- BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X