Khamis, 31 Oktober 2019 | 9:28pm
Fachrul Razi mengemukakan cadangan larangan pemakaian niqab di pejabat kerajaan susulan insiden tikaman bekas Menteri Keselamatan Wiranto. -Foto Agensi
Fachrul Razi mengemukakan cadangan larangan pemakaian niqab di pejabat kerajaan susulan insiden tikaman bekas Menteri Keselamatan Wiranto. -Foto Agensi

Larangan pakai niqab di pejabat kerajaan cetus kontroversi di Indonesia

JAKARTA: Satu cadangan dikemukakan Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Fachrul Razi untuk melarang pemakaian niqab di pejabat kerajaan menimbulkan reaksi bercampur-campur di kalangan pegawai dan ahli politik di tengah perjuangan negara itu menentang radikalisme.

Walaupun sesetengah menyokong rancangan melarang pemakaian niqab di pejabat kerajaan, yang lain membantah dan menuntut kerajaan supaya tidak campur tangan dalam keputusan berkaitan pakaian wanita Islam.

Cadangan itu dikemukakan Fachrul yang berkata semalam, pejabatnya sedang meneliti rancangan itu dan mungkin mencadangkan peraturan terhadap larangan berkenaan, lapor CNNIndonesia.com, walaupun beliau menarik balik kenyataannya.

“Mungkin ada langkah lanjut, namun kami bukan melarang pemakaian niqab namun hanya berkuat kuasa di pejabat kerajaan atas alasan keselamatan terutama selepas apa yang berlaku kepada Pak Wiranto,” kata Fachrul dilaporkan CNNIndonesia.com, merujuk serangan terbaharu ke atas bekas Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Wiranto.

Seorang anggota Perwakilan daripada Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Yaqut Cholil Qoumas, berkata, kerajaan perlu menahan diri daripada memberitahu rakyat bagaimana berpakaian.

“Adalah penting buat kerajaan menjaga perkara lain yang lebih penting. Ada ramai orang menggunakan niqab dan mereka memiliki pandangan sederhana, bukan radikal,” kata Yaqut.

Seorang pembuat dasar Parti Mandat Nasional (PAN), Yandri Susanto mengkritik kenyataan Fachrul, yang disifatkan anggapan umum tersilap, mengatakan adalah lebih baik buat menteri lebih fokus menguruskan masalah sedia ada.

“Setakat ini tiada kaitan sebenar antara pakaian dan radikalisme, tiada kajian dan tiada rumusan. Malah orang yang menggunakan seluar panjang seperti golongan milenia boleh melakukan tembakan seperti apa yang berlaku di New Zealand,” kata Yandri merujuk insiden tembakan dua masjid di Christchurch pada Mac lalu. -Agensi

Berita Harian X