Ahad, 12 Februari 2023 | 8:02am
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, bersama menteri Kabinet persekutuan, mengambil bahagian dalam sidang akhbar selepas melawat ke kemudahan latihan perubatan di Ottawa, Ontario, Kanada ada 7 Februari 2023. - Foto REUTERS
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, bersama menteri Kabinet persekutuan, mengambil bahagian dalam sidang akhbar selepas melawat ke kemudahan latihan perubatan di Ottawa, Ontario, Kanada ada 7 Februari 2023. - Foto REUTERS

Objek tidak dikenali di ruang udara Kanada ditembak jatuh

OTTAWA: Perdana Menteri, Justin Trudeau, mengesahkan sebuah objek tidak dikenali ditembak jatuh di ruang udara barat laut Kanada, sehari selepas Amerika Syarikat (AS) memaklumkan pihaknya menambak jatuh objek sama di Alaska.

Perkara itu dimaklumkan Trudeau menerusi ciapan di Twitter,

"Pesawat Kanada dan AS diterbangkan ke lokasi dan pesawat AS, F-22 berjaya menembak objek berkenaan," ciapnya.

Beliau berkata, pasukan tentera Kanada di Yukon akan mencari dan menganalisis serpihan objek terbabit.

Katanya, beliau sudah bercakap dengan Presiden AS, Joe Biden berhubung perkara berkenaan.

Sementara itu, Pemerintah Utara Tentera AS dalam satu kenyataan berkata, objek terbabit ditembak jatuh di ruang udara Yukon yang bersempadan dengan Alaska semalam, di mana objek sama turut ditembak pesawat tempur AS pada Jumaat lalu.

"Aktiviti mengesan (serpihan objek) sedang dilakukan namun Pentagon tidak boleh mendedahkan perincian objek itu termasuk keupayaan, tujuan serta asal usulnya," katanya.

Bulan lalu, AS menembak jatuh objek dipercayai belon perisikan milik China sehingga menimbulkan ketegangan diplomatik dengan Beijing.

Belon gergasi dilengkapi peralatan elektronik yang disifatkan Pentagon sebagai objek perisikan, terbang merentasi Kanada dan AS sekali gus menimbulkan pertikaian diplomatik dengan China yang mengesahkan objek berkenaan adalah miliknya.

Belon terbabit terbang memasuki ruang udara AS di Alaska pada 28 Januari lalu sebelum ditembak jatuh di Laut Atlantik berhampiran South Carolina. - AFP

Berita Harian X