WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang sedang menghadapi kritikan beberapa ahli Parlimen menyatakan isu belon pengintip China bukan pelanggaran keselamatan yang besar.
Belon pengintip itu melintasi AS sebelum ia ditembak jatuh di Lautan Atlantik.
Biden yang berusaha mengekalkan komunikasi dengan China dan tidak membenarkan ketegangan luar kawalan dengan negara itu dalam temu bual Noticias Telemundo berkata, beliau tidak menyesal menembak jatuh belon itu lebih awal.
"Ia bukan pelanggaran besar. Maksud saya, sama sekali melanggar undang-undang antarabangsa. Ia ruang udara kami. Dan apabila ia berada dalam (kawasan) kita, kita boleh melakukan apa yang kita mahu dengannya," katanya.
Beliau berkata, pegawai tentera AS bimbang untuk menembaknya di atas darat, berikutan belon dan bahagiannya berpotensi jatuh di kawasan didiami penduduk.
"Perkara ini sangat besar. Apa akan berlaku jika ia jatuh dan menghempap sekolah di kawasan luar bandar?
"Jadi saya beritahu mereka sebaik sahaja mereka boleh tembak, tembak jatuh. Mereka membuat keputusan bijak. Mereka menembaknya di atas air, mereka menyelamatkan sebahagian besar (bahagian) dan ia bagus," katanya.
Pada 2 Februari lalu, Biden mengarahkan belon itu ditembak jatuh sebaik sahaja ia melintasi barat laut AS, tetapi akur dengan permintaan tenteranya untuk tidak bertindak jika ia masih berada di darat.
Belon setinggi 61 meter itu, bersama-sama dengan bahagian bawah gajet elektroniknya, ditembak jatuh oleh jet pejuang AS di pantai Carolina Selatan dua hari kemudiannya.
Beberapa Republikan dan Demokrat mengatakan Biden sepatutnya menembak jatuh belon itu lebih awal.
Belon pengawasan altitud tinggi itu mula dikesan di ruang udara Alaska pada 28 Januari. - REUTERS