Sabtu, 21 Januari 2023 | 4:04pm
Penunjuk perasaan anti-kerajaan dari seluruh Peru berkumpul di Lima ketika protes ‘Ambil Alih Peru’ bagi menentang Presiden Peru, Dina Boluarte, susulan penahanan bekas Presiden, Pedro Castillo. - Foto REUTERS
Penunjuk perasaan anti-kerajaan dari seluruh Peru berkumpul di Lima ketika protes ‘Ambil Alih Peru’ bagi menentang Presiden Peru, Dina Boluarte, susulan penahanan bekas Presiden, Pedro Castillo. - Foto REUTERS

53 maut dalam seminggu akibat tunjuk perasaan di Peru

LIMA: Puluhan rakyat Peru cedera selepas ketegangan memuncak ketika polis bertempur dengan penunjuk perasaan antikerajaan yang merebak di seluruh negara.

Menjelang lewat petang semalam, 58 orang dilaporkan cedera di seluruh negara dalam tunjuk perasaan manakala kematian protes yang sudah berlanjutan selama seminggu mencatat 53 mangsa setakat hari ini.

Di ibu negara, Lima, pegawai polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang membaling botol kaca dan batu, ketika api marak di jalanan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Vicente Romero, kira-kira 1,500 penunjuk perasaan menyerang balai polis di bandar Ilave, di wilayah selatan Puno di negara itu selain sebuah balai polis di Zepita, Puno, turut terbakar.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan di Ilave melaporkan lapan pesakit dimasukkan ke hospital dengan kecederaan, termasuk patah tangan dan kaki, mata lebam serta kesan tikaman di perut.

Penunjuk perasaan bertembung dengan polis ketika demonstrasi anti-kerajaan di Lima, Peru. - Foto EPA
Penunjuk perasaan bertembung dengan polis ketika demonstrasi anti-kerajaan di Lima, Peru. - Foto EPA

Difahamkan, ketegangan memuncak susulan kemelut pada Khamis lalu, apabila sebuah bangunan paling bersejarah di Lima musnah terbakar, ketika Presiden Peru, Dina Boluarte, berikrar untuk bertindak tegas terhadap dalang perbuatan itu.

Bagaimanapun, Boluarte menolak gesaan supaya beliau meletakkan jawatan dan mengadakan pilihan raya mengejut, sebaliknya menggesa dialog dan berjanji untuk menghukum mereka yang terbabit dalam pergolakan itu.

"Semua tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang bertindak secara ganas memusnahkan harta benda," katanya.

Kemusnahan bangunan, sebuah rumah agam berusia hampir seratus tahun di tengah Lima, disifatkan oleh pegawai sebagai kehilangan 'aset bersejarah' dan pihak berkuasa sedang menyiasat puncanya.

Seorang lelaki membawa bendera Peru bersemuka dengan barisan polis anti rusuhan ketika demonstrasi anti-kerajaan di Lima, Peru.. - Foto EPA
Seorang lelaki membawa bendera Peru bersemuka dengan barisan polis anti rusuhan ketika demonstrasi anti-kerajaan di Lima, Peru.. - Foto EPA

Minggu ini, beribu-ribu penunjuk perasaan turun ke Lima bagi menggesa perubahan dan marah dengan angka kematian protes yang semakin meningkat.

Lapangan terbang di Arequipa, Cusco dan bandar selatan Juliaca turut diserang penunjuk perasaan, sekali gus menjejaskan industri pelancongan Peru.

Susulan itu, kerajaan terpaksa melanjutkan tempoh darurat di enam wilayah dan menyekat beberapa hak sivil.

Kumpulan hak asasi manusia turut menuduh polis dan tentera menggunakan senjata api yang boleh meragut nyawa, namun polis mendakwa penunjuk perasaan menggunakan senjata dan bahan letupan buatan sendiri. - REUTERS

Berita Harian X